Selasa, 25 Jun 2013

Alberts bangga julang Sarawak

Oleh FIRDAUS HASSAN


BARISAN pemain Sarawak meraikan kejayaan muncul juara Liga Premier di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching malam kelmarin.


PENGENDALI Sarawak, Robert Alberts merupakan individu paling gembira selepas skuad kendaliannya ditabal selaku juara Liga Premier musim ini.

Malam kelmarin, skuad Bujang Senang itu sah bergelar juara Liga Premier selepas membelasah Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching.

Biarpun saingan liga masih berbaki satu perlawanan, kemenangan itu sudah memadai buat Sarawak mengesahkan kejuaraan milik mereka.

Selepas mengharungi 21 perlawanan, Sarawak berjaya mengumpul 55 mata, empat mata meninggalkan pencabar terdekatnya, Sime Darby.

Alberts berkata, beliau bukan sahaja gembira dengan kejayaan itu, malah turut berbangga apabila Sarawak muncul sebagai satu-satunya pasukan yang tidak pernah tewas sepanjang saingan liga musim ini.

"Memegang rekod sebagai satu-satunya pasukan yang tidak kalah bukan satu tugas yang mudah.
"Sudah tentu kejayaan ini cukup menggembirakan saya," kata Alberts.

Ketika diminta mengulas mengenai perancangannya musim depan apabila Sarawak akan bersaing dalam kempen Liga Super, Alberts berkata: "Saya hanya ingin menambah kualiti dalam pertandingan itu nanti."

Selaku juara, Sarawak meraih piala Liga Premier, cek berjumlah RM300,000 dan pingat kemenangan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Pada perlawanan kelmarin, Sarawak membuka tirai jaringan pada minit ke-20 selepas penyerang import Muamer Salibasic menyudahkan hantaran pendek Zamri Morshidi.

Gol kedua Sarawak hadir pada minit ke-68 apabila pemain pertahanan, Ronny Harun mudah merembat masuk bola dari luar kotak penalti.

Kapten Sarawak, Joseph Kalang Tie menambah derita pasukan pelawat selepas menjaringkan gol ketiga pada minit ke-85.

Sarawak melengkapkan malam gemilang di hadapan hampir 20,000 penyokong sendiri apabila memperoleh gol keempat menerusi pemain import, Guy Bwele pada minit ke-89.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan