Sabtu, 29 Jun 2013

Hajat besar Mat Yo

Oleh NOR AZIRAN YUNUS

MAT YO mahu menghadiahkan Piala FA sempena hari keputeraan Tunku Ismail.


PENYERANG Johor Darul Takzim (Johor DT), Norshahrul Idlan Talaha berazam untuk menghadiahkan trofi Piala FA kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sempena hari keputeraan baginda esok.

Norshahrul berkata, selepas mengharungi laluan berliku sebelum aksi final ini, dia berharap rakan sepasukan akan memberikan sepenuh komitmen dan membawa pulang trofi Piala FA buat pertama kali untuk pasukan Johor DT.

"Saya akui, pemain-pemain Kelantan pasti sudah mengetahui di mana kelemahan kami. Kami pun begitu juga, sedikit sebanyak mengetahui di mana kekurangan mereka.

"Apabila kedua-dua pihak mengetahui kelemahan masing-masing, maka perlawanan akhir nanti lebih menarik dan saya jangka Kelantan akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk menghadapi perlawanan akhir itu nanti," kata Norshahrul.

Dalam pada itu, Norshahrul atau lebih dikenali dengan nama Mat Yo menegaskan, semua pemain Johor DT kini berada dalam motivasi terbaik dan sudah tidak sabar untuk turun dalam perlawanan akhir itu nanti.

Lebih manis, apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah menjanjikan dua kenderaan mewah, SUV Audi Q7 buat dua pemain terbaik Johor DT jika berjaya menjulang trofi Piala FA malam ini.
"Saya langsung tidak terfikir tentang kereta itu, tetapi bagi kami (pemain) memang sudah bertekad mahu menghadiahkan trofi Piala FA ini kepada Tunku Ismail sempena hari keputeraan baginda pada 30 Jun (esok).

"Saya jangka perlawanan akhir itu nanti pasti sengit kerana Kelantan pasti tampil dengan perancangan baharu serta mahu mempertahankan trofi Piala FA itu kekal milik mereka," kata Norshahrul ketika ditemui Kosmo! semalam.

Musim lalu, Kelantan menjulang Piala FA selepas menewaskan pasukan Sime Darby FC 1-0 dalam perlawanan akhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan