Selasa, 18 Jun 2013

Liverpool desak Suarez

MASA depan Suarez dengan Liverpool mencetuskan tanda tanya.


LONDON - Liverpool dilaporkan memberi arahan kepada Luis Suarez supaya membuat permohonan rasmi sekiranya berhasrat untuk meninggalkan skuad The Reds.
Situasi itu bakal menamatkan spekulasi mengenai masa depan penyerang Uruguay itu.
Suarez yang ketika ini beraksi pada kempen Piala Konfederasi 2013 di Brazil memberikan bayangan untuk meninggalkan Anfield, Ogos depan.
Namun, sehingga kini dia masih belum memberitahu pihak pengurusan Liverpool.
Sekiranya Suarez mahu berhijrah ke Real Madrid, Liverpool mahu dia mengemukakan permohonan rasmi bagi melepaskannya dan kelab itu juga dikatakan bersedia meletakkan harga sekitar £50 juta (RM247 juta).

Begitupun, setakat ini masih tiada tawaran rasmi daripada Real ke atas pemain berusia 26 tahun itu.
Liverpool juga sedang merangka strategi bagi manghadapi kempen musim depan walaupun Suarez mungkin tidak lagi bersama mereka.

Namun, secara realistiknya, mereka tahu sesuatu yang sukar untuk mengekalkannya di Anfield selepas apa yang berlaku sejak beberapa bulan lepas.

Atas sebab itu, skuad The Reds mahu isu ini ditamatkan secepat mungkin supaya ia tidak menjejaskan kepentingan mana-mana pihak sekiranya ia masih berlarutan sehingga kempen baharu Liga Perdana England.

Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers yang baharu sahaja membeli pemain pertahanan Kolo Toure, berhasrat membawa masuk seorang lagi penyerang dan pemain Celta Vigo, Iago Aspas dijangka melengkapkan perpindahannya ke Anfield dalam tempoh terdekat.

Pemain sayap Sevilla, Luis Alberto juga diramal mengikut jejak langkah Aspas, manakala perbincangan ke atas penjaga gol Sunderland, Simon Mignolet juga masih berlangsung.

Pembelian penjaga gol Belgium yang berharga £10 juta (RM49.4 juta) itu dijangka selesai hujung minggu ini.

Perpindahan Andy Carrol juga dijangka selesai hujung minggu ini.
Penyerang England itu bakal menyertai West Ham dengan harga £15 juta (RM74.2 juta). - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan