Khamis, 20 Jun 2013

Tevez dalam perjalanan ke Milan

LONDON - Bintang penyerang Manchester City, Carlos Tevez dikatakan dalam perjalanan ke Itali dan bakal mengikat perjanjian bernilai 10 juta pound (RM49.46 juta) dengan AC Milan. 

Menurut laporan media Itali, Tevez, yang akan tamat kontrak musim panas tahun depan ditawarkan kontrak tiga tahun bernilai 15 juta pound (RM74.20 juta). 

Bintang antarabangsa Argentina berusia 29 tahun itu sebelum ini menyuarakan hasrat untuk menamatkan kontrak sedia ada dan meninggalkan City secara percuma musim depan, namun hasrat tersebut nyata tidak menguntungkan kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pengurus baharu City, Manuel Pellegrini bercadang untuk bercakap dengan semua pemainnya yang berbaki setahun kontrak supaya pergi pada musim panas ini. 

Walaupun kontrak tiga tahun Pellegrini secara rasminya akan bermula Isnin depan, namun dia tidak dijangka akan muncul pada sesi latihan kelab sehinggalah minggu pertama Julai. 

Pengendali kelahiran Chile itu dikatakan mahu melepaskan Tevez untuk membawa masuk perancang utama Sepanyol, Isco dari Malaga dengan bayaran 30 juta pound (RM148.4 juta). 

City telah pun menghantar wakil untuk berunding dengan Malaga, namun Pengarah Sukan Real Madrid, Zinedine Zidane pula mengadakan pertemuan dengan bapa Isco yang juga ejen pemain berusia 21 tahun itu. 

Selain Milan, juara Liga Itali, Juventus juga turut berminat untuk mendapatkan Tevez.

Juventus juga telah mengadakan rundingan rasmi untuk mendapatkan Tevez dengan bayaran 9 juta pound (RM44.51 juta). - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan