Selasa, 25 Jun 2013

Benitez kritik Mourinho



BENITEZ (kiri) menuduh Mourinho menuduh sebagai pengurus yang tidak mempunyai perasaan dan sanggup bersikap kurang ajar dalam usaha memburu kemenangan kelmarin.


LONDON - Pengurus Napoli, Rafael Benitez cuba membangkitkan semula persengketaan lama dengan Jose Mourinho.

Benitez yang mengakhiri kariernya selaku pengurus sementara Chelsea menuduh pengurus kelahiran Portugal itu tidak mempunyai perasaan dan sanggup bersikap kurang ajar dalam usaha memburu kemenangan.

Benitez yang membantu Chelsea memenangi trofi Liga Europa musim lalu mengeluarkan kenyataan itu dalam satu temu bual di Sepanyol kelmarin.

"Saya tidak tahu apa yang Mourinho buat tetapi saya tahu apa yang saya lakukan. Saya sentiasa mahukan kemenangan tanpa bertindak di luar batasan semangat kesukanan.

"Memang benar saya akan berbaik dengan beberapa jurulatih berbanding dengan yang lain dan saya juga akan bermusuhan dengan mereka yang terlalu mahukan kejayaan tanpa sebarang had.

"Saya menyertai akademi Real Madrid ketika berusia 13 tahun dan saya belajar banyak perkara di sana. Saya diajar supaya menunjukkan rasa hormat dan menjaga maruah diri di hadapan pihak lawan tidak kira kami menang atau kalah," kata Benitez.

Ketika diminta mengulas mengenai bulan terakhirnya di Stamford Bridge meskipun spekulasi tentang Mourinho yang akan menggantikan tempatnya, bekas pengurus Liverpool itu berkata, beliau tetap memberi fokus terhadap tugasnya dengan membantu skuad The Blues menjuarai Liga Europa.

"Semua orang di Chelsea tahu Mourinho akan datang semula hujung musim tersebut.
"Namun, ia tidak mematahkan semangat dan cita-cita saya untuk mencapai objektif kami. Kami telah memenangi trofi Liga Europa. Ia membuktikan komitmen saya terhadap pasukan itu," katanya. 

Sepanjang tiga tahun bersama Real sebelum meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu untuk kembali membimbing Chelsea akhir musim lalu, Mourinho sering menjadi sasaran kritikan pihak media kerana melanggar nilai-nilai yang murni.

Sementara itu, Benitez yakin Carlo Ancelotti merupakan calon yang paling sesuai untuk menggantikan tempat Mourinho di Real. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan