Ahad, 23 Jun 2013

Azzuddin terima surat pelantikan


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad kini sudah boleh memberi tumpuan kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Ini kerana Azzuddin telah menerima surat pelantikan sebagai Setiausaha Agung AFF semalam.
Azzuddin berkata, tawaran untuk menyertai AFF bagi menggantikan bekas Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Paul Mony Samuel telah diperkenan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden AFF.

Jelas Azzuddin, beliau akan meninggalkan FAM penghujung minggu ini sebelum memulakan tugas secara rasmi di AFF pada 1 Jun depan.

“Saya telah menerima surat pelantikan sebagai Setiausaha Agung AFF pada pukul 3 petang hari ini (semalam).

“Perkara ini telah diperkenankan oleh baginda (Sultan Ahmad Shah) yang menandatangani surat pelantikan tersebut.

“Saya akan meninggalkan FAM pada akhir bulan ini sebelum menyertai AFF pada 1 Julai nanti,” kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sepanjang berkhidmat di FAM, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting badan induk bola sepak negara itu.

Antaranya ialah Ahli Jawatankuasa Bebas dari 2000 hingga 2006, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (2001-2004) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil (April-September 2006).

Mengulas mengenai pengganti beliau sebagai Setiausaha Agung, Azzuddin yang enggan mendedahkan nama calon tersebut, berharap individu terbabit dapat melakukan tugas lebih baik daripadanya.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin disebut-sebut sebagai calon pilihan dan dikaitkan dengan ‘kerusi panas’ yang akan ditinggalkan Azzuddin nanti.
Tambah Azzuddin, beliau percaya Sultan Ahmad Shah akan memilih individu yang tepat bagi menjalankan tanggungjawab memperkemaskan lagi badan induk itu.

“Sejujurnya, Tuanku masih tidak mendedahkan apa-apa perkara mengenai hal ini secara rasmi.

“Tidak kira siapa termasuk Hamidin (yang bakal dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM), saya percaya pilihan Tuanku pasti tepat kerana Tuanku akan menilai kewibawaan individu itu tersebut.
“Saya berharap pengganti saya akan melakar kejayaan yang lebih hebat untuk pencapaian skuad bola sepak negara pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan