Rabu, 26 Jun 2013

Penyokong Harimau Selatan pulang kecewa

SEBAHAGIAN penyokong Johor DT beratur di depan kauter tiket di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.


LEBIH 1,000 penyokong setia Johor Darul Takzim (JDT) kecewa apabila gagal mendapatkan tiket final Piala FA Sabtu ini kerana tiada sebarang penjualan tiket di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.

Situasi tersebut berbeza dengan keadaan yang berlaku di Kota Bharu, Kelantan kelmarin apabila tiket untuk aksi final Sabtu ini habis dijual dalam tempoh 10 minit.

Difahamkan, penyokong Johor DT telah hadir ke stadium seawal pukul 6 pagi semalam, namun mereka terpaksa pulang hampa selepas dimaklumkan tiket hanya akan mula dijual hari ini.

Para penyokong setia Harimau Selatan mendakwa, maklumat mengenai penjualan tiket itu telah dipaparkan pada skrin besar di stadium berkenaan ketika Johor DT menentang Felda United pada aksi Liga Super malam kelmarin.

Seorang penyokong Johor DT, Mohd. Nazri Abu Bakar, 35, berkata, situasi tersebut jelas mengecewakannya termasuk penyokong lain memandangkan mereka mendapat maklumat yang bercanggah tentang penjualan tiket.

"Saya berasa kecewa dan marah sebab tidak dapat membeli tiket dan tiada siapa yang tampil untuk menjelaskan keadaan sebenar," kata Mohd. Nazri.

Menurutnya, tindakan untuk mendapatkan tiket dengan kadar segera penting kerana setiap penyokong hanya boleh membeli dua keping tiket.

"Kalau tidak dapat beli juga tiket esok (hari ini), sudah pasti saya kecewa kerana sudah terlalu lama kami menunggu pasukan kebanggaan kami ini beraksi di pentas final," katanya dengan nada sedih.

Perasaan yang sama dikongsi Mohd. Hafiz Zainal Abidin, 21, yang sepatutnya membeli tiket untuk 44 orang penyokong Johor DT yang akan menaiki bas ke Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Mohd. Hafiz berkata, dia berharap tiket tersebut dapat dijual dengan kuantiti yang lebih banyak memandangkan ramai penyokong akan pergi menyaksikan perlawanan akhir itu menggunakan bas.

"Saya mewakili kawan-kawan saya untuk mendapatkan tiket, tetapi difahamkan seorang hanya dibenarkan membeli dua tiket sahaja, jadi saya berharap agar tiket yang dijual esok (hari ini) benar-benar mencukupi," rayunya.

Sementara itu, Samsul Akmal Buniami, 36, berkata, seawal pukul 5 pagi lagi dia sudah bertolak dari Kluang dengan harapan tidak terlepas untuk membeli tiket.

"Bukan saya seorang sahaja, malah ramai lagi yang datang dari jauh semata-mata untuk membeli tiket. 

"Saya harap pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini, tidak mengulangi kesilapan seperti ini pada masa hadapan," katanya.

Kehadiran beberapa anggota polis berjaya mengawal keadaan serta tiada insiden tidak diingini berlaku dan kesemua penyokong mula bersurai kira-kira pukul 10.30 pagi.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masing-masingnya diperuntukkan 30,000 keping tiket bagi aksi final Piala FA kali ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan