Selasa, 18 Jun 2013

FAM terima teguran, kritikan




PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia menerima kritikan dan pandangan pihak luar demi kebaikan semua pihak.

Bagi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar), beliau secara peribadi berpendapat FAM bukanlah sebuah badan yang ‘kebal’ sehingga tidak boleh ‘disentuh’ oleh mana-mana pihak.

“Selaku Naib Presiden FAM, saya memandang setiap perkara daripada sudut positif yang mana kami harus menerima semua pandangan.

“Saya menyokong kenyataan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang sebelum ini bertitah bahawa FAM perlu sikap lebih terbuka dan menerima segala kritikan.
“Ini kerana di sebalik perkara itu (kritikan), ada kemungkinan penambahbaikan yang perlu dilakukan demi kebaikan bersama,” jelas Hamidin kepada pemberita ketika ditemui di Istana Alam Shah, Klang semalam.

Terdahulu, Hamidin diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin yang seakan-akan ‘patah hati’ dengan FAM sehingga tidak lagi berminat menegur polemik yang terus melanda badan induk bola sepak negara itu.

Ketika itu, Khairy diajukan soalan oleh wartawan berhubung kemelut terbaharu FAM membabitkan wang tajaan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia (Liga M) kepada persatuan bola sepak negeri-negeri.

Perkara itu dipersoalkan oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang menuntut jawapan daripada FAM mengenai wang tajaan berjumlah RM30 juta setahun yang diterima badan induk itu berhubung hak penyiaran perlawanan Liga M.

Pada masa sama, Khairy turut menegaskan bahawa FAM sepatutnya mendengar pendapat ramai khususnya peminat bola sepak tempatan.

“Sudah tentu, (Khairy) sebagai Menteri Belia dan Sukan, beliau mempunyai pandangan dan sebelum ini, beliau pernah menjadi Timbalan Presiden FAM.

“Kita kena terima kritikan dan bukan hanya FAM tetapi seluruh persatuan harus berubah kepada yang lebih baik.

“Saya anggap apa-apa masalah boleh selesai. Mungkin pada masa akan datang, kami akan mengadakan perjumpaan dengan Khairy bagi menerangkan situasi terkini atau perancangan program FAM untuk masa depan,” kata Hamidin.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan