Isnin, 17 Jun 2013

Tidak salah menang hasil SMS - Zizan



SEOLAH-OLAH menepati ramalan ramai, filem arahan Ghaz Abu Bakar, Hantu Kapcai menang besar dengan membolot lima anugerah daripada 13 kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Blokbuster 2. 

Majlis anugerah itu berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, Johor pada Sabtu lepas.

Filem terbitan Showbiz Sdn. Bhd. itu mengungguli Anugerah Filem Terhebat, Anugerah Filem Aksi Terhebat dan Anugerah Filem Kelakar Terhebat serta turut menang kategori lakonan menerusi dua pelakon yang membintangi filem tersebut iaitu Zizan Razak dan Neelofa. 

Zizan dan Neelofa masing-masing menggondol Anugerah Hero Terhebat dan Anugerah Heroin Baru Terhebat.

Kemenangan Zizan kali ini sekali gus berjaya mengekalkan rekod kemenangan untuk kategori yang sama dua tahun berturut-turut. 

Pada Anugerah Blokbuster yang kali pertama diadakan pada tahun lepas, Zizan meraih Anugerah Hero Terhebat menerusi filem, Hantu Bonceng.

Katanya: "Nampaknya peminat masih tidak jemu-jemu menyokong kerjaya saya sehingga kemenangan kali kedua untuk kategori yang sama dua tahun berturut-turut berpihak kepada diri ini.
"Meskipun kemenangan ini dibuat menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), saya tidak nampak sebarang masalah. Ini kerana peminat bukan pandang kepada populariti semata-mata, mereka lihat kepada bakat."

Tambah Zizan: "Cerita Hantu Kapcai pula memang menyeronokkan. Penonton memang tidak salah memilih kerana intipati cerita ini memang banyak manfaatnya."

Hantu Kapcai juga telah memberi suatu memori indah buat pengacara program Nona dan MeleTOP, Neelofa apabila dia telah memenangi trofi pertama dalam karier lakonannya.

ZIZAN bangga kemenangannya berdasarkan undian penonton.


"Kemenangan ini akan terpahat dalam sejarah sepanjang saya bergelar anak seni. Saya tidak meletakkan harapan langsung kerana semuanya layak menang. 

"Sebelum ini saya sering tewas, sampai dah tak rasa apa-apa. Tetapi bila dah menang ini, ia akan menguatkan lagi usaha saya untuk terus berada dalam bidang ini," ulas Neelofa yang bakal tampil menerusi filem Pilot Cafe.

Selain Zizan dan Neelofa, Hantu Kapcai turut dibintangi Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Izzue Islam.
Sementara selaku pengarah Hantu Kapcai, ujar Ghaz, sebelum Hantu Kapcai secara rasminya muncul sebagai filem yang meraih paling banyak anugerah pada Anugerah Blokbuster 2, dia terlebih dahulu merujuk kepada laporan menerusi laman web Astro Gempak.

"Ketika merujuk kepada Astro Gempak, saya mendapati Hantu Kapcai mendahului filem-filem lain. Namun, saya tidak mahu meletakkan harapan tinggi kerana banyak lagi filem hebat yang layak menggondol trofi kemenangan dan saya hanya menyerahkan segalanya kepada keputusan penonton yang semakin hari semakin bijak menilai filem manakah yang dirasakan harus menang," ujarnya.

Ghaz turut menyatakan antara faktor utama yang membawa kepada kejayaan Hantu Kapcai sudah tentu menerusi barisan para pelakonnya yang mantap dan sangat berbakat.

"Saya harus menyatakan hampir 70 peratus kemenangan filem Hantu Kapcai datangnya daripada peminat Zizan yang sentiasa menyokong apa sahaja karya yang membabitkan Zizan. Saya akui perkara itu. Kita kena berpijak di bumi yang nyata.

"Hebat macam mana pun sesebuah filem itu, ia harus berbalik semula kepada pelakonnya. Selain faktor pelakon, dengan jalan cerita yang menarik, barulah sesebuah filem itu akan berjaya," jelasnya yang ditemui selepas tamat Anugerah Blokbuster 2.

Sehubungan dengan kemenangan besar Hantu Kapcai, ujar Ghaz lagi, ura-ura Hantu Kapcai 2 akan diterbitkan semakin nyata.

"Insya-Allah, Norman Abdul Halim (selaku penerbit bersama Hantu Kapcai) juga ada menyatakan dia memang tunggu apabila filem ini sudah capai standard yang dimahukan barulah dia akan mulakan penggambaran sekuelnya. Penggambaran akan dimulakan pada tahun depan. 

"Kami akan mengekalkan pelakon yang sama, malah akan menambah pelakon lain untuk mengembangkan lagi filem ini," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan