Ahad, 16 Jun 2013

Man. United sedia pecah rekod dunia

LONDON - Manchester United bersedia memecah rekod dunia bagi membuktikan kelab itu masih ada lagi 'kehidupan' selepas bekas pengurus, Alex Ferguson meninggalkan Ol Trafford.

The Glazers akan menyalurkan peruntukan yang besar kepada pengurus baharu, David Moyes bagi mendapatkan Cristiano Ronaldo atau pun Gareth Bale. Ronaldo, kelmarin membuka pintu untuk kembali ke pangkuan Old Trafford setelah menegaskan masa depannya di Real Madrid masih belum ada kepastian.

Namun, jika dia menandatangani perjanjian baharu di Real, Moyes dijangka akan memecah rekod perpindahan dengan mengeluarkan perbelanjaan bernilai RM416 juta bagi mendapatkan khidmat pemain terbaik Liga Perdana Inggeris dari Tottenham itu.

Pemilik United warga Amerika Syarikat yakin kelab tersebut akan terus menjadi kuasa besar bola sepak Eropah sekali pun Fergie telah bersara.

Ronaldo, 28, kekal sebagai sasaran No. 1 United dan kelmarin melalui laman sosial Twitter, pemain itu berkata: "Semua berita tentang saya akan memperbaharui kontrak bersama Real Madrid adalah tidak benar."

Ronaldo dikhabarkan berasa jengkel terhadap Presiden Madrid, Florentina Perez yang mendakwa bintang Portugal itu akan kekal di Real.

Perez berkata: "Saya sanggup bertaruh Cristiano akan bersara di Madrid kerana itu satu perkara semula jadi."

Ronaldo masih memiliki baki kontrak dua tahun bersama Real, tetapi melalui kenyataannya dalam laman Twitter sudah cukup memberi gambaran bahawa dia bersedia untuk menerima tawaran daripada pihak lain.

United bersedia memecah rekod RM392 juta iaitu bayaran yang mereka terima daripada Real semasa menjual Ronaldo pada 2009. 

Spurs pula kini terdesak mengekalkan Bale, 23, bersama kelab itu, tetapi yuran perpindahan yang mencatat rekod dunia adalah sesuatu mustahil untuk ditolak.

Pemain Wales itu turut menarik minat Real dan Paris Saint-Germain. United percaya perpindahan Bale ke Real akan mendorong kepada pemergian Ronaldo dari kelab gergasi Sepanyol itu.

United pernah mencatat rekod perpindahan sewaktu membeli Dimitar Berbatov yang bernilai RM150 juta pada 2007 dan kelab itu juga berbelanja RM302 juta pada musim tersebut. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan