Selasa, 25 Jun 2013

PBNJ kemuka bukti

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI


REAKSI Aidil (kanan) apabila gagal menjaringkan gol pada perlawanan menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura Sabtu lalu.


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) akan mengemukakan bukti video kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran kad merah yang diterima tonggak pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak ketika menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura Sabtu lalu.

Perkara itu didedahkan oleh jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT), Fandi Ahmad yang mengesahkan bahawa PBNJ telah menghantar surat rayuan kepada FAM sebelum menyerahkan bukti rakaman video kepada badan induk itu hari ini.

“Kita telah menghantar surat rayuan hari ini (semalam) dan disusuli bukti video rakaman kepada pihak FAM esok (hari ini). 

“Video menunjukkan bahawa Aidil sebenarnya lebih mencabar bola, bukan untuk mengasari pemain Lions XII.

“Khidmat Aidil amat ditagih oleh pasukan dan saya berharap FAM dapat mempertimbangkan kad merah bagi membenarkan dia beraksi pada final Piala FA nanti,” kata Fandi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ketika aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura Sabtu lalu, Aidil diarahkan keluar padang selepas mengasari pemain Lions XII, Irwan Shah.

Fandi berkata, beliau dapat membuktikan pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu tidak bersalah selepas menerima kad merah daripada pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin.

Dalam perkembangan lain, Fandi memberi bayangan awal bahawa beliau menurunkan skuad kedua Johor DT ketika melayan kunjungan Felda United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Ini kerana pengendali kelahiran Singapura itu mahu merehatkan barisan pemain utama bagi memberikan tumpuan untuk aksi final Piala FA menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Begitupun, Fandi tidak mahu memandang rendah terhadap cabaran Felda kerana beliau menyedari skuad Harimau Selatan telah kehilangan ramai tonggak untuk aksi tersebut.

“Kami terpaksa beraksi tanpa khidmat Safee Sali, Safiq Rahim, Andre Francisco dan Nazrin Ahmad yang digantung satu perlawanan.

“Ini merupakan satu situasi sukar buat kami kerana Felda sudah pasti mahu mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata di Larkin.

“Mereka kini terdesak untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Super dan pasti akan berjuang habis-habisan nanti,” kata Fandi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan