Khamis, 20 Jun 2013

Kelantan tekad kutip mata penuh


HODAK (kanan) mahu memperkemas skuad kendaliannya bagi menghadapi baki saingan liga serta final Piala FA menentang Johor DT pada penghujung bulan ini.


KELANTAN berazam mahu mengutip tiga mata penuh pada pertemuan menentang Terengganu dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengendali The Red Warrriors, Bojan Hodak optmis pasukannya mampu melakar kemenangan pada pertemuan itu selepas Terengganu dikhabarkan kehilangan beberapa tonggak utama seperti Jean Effa Owana, Vincent Bikana dan Abdul Manaf Mamat akibat penggantungan.

Beliau berkata, ketiadaan beberapa tonggak utama dalam skuad Peteh mahu digunakan sebaik mungkin bagi memastikan tiga mata berharga menjadi milik Kelantan pada perlawanan tersebut.

Menurutnya, meskipun tumpuan Kelantan lebih terarah kepada persiapan untuk menghadapi final Piala FA 29 Jun ini, namun beliau mahu barisan pemainnya tetap fokus dan memberikan aksi terbaik bertemu Terengganu.

“Kita turut kehilangan tiga tonggak utama seperti Indra Putra (Mahayuddin), Nik Shahrul Azim (Ab. Halim) dan Daudsu (Jamaluddin), namun ia tidak menjejaskan persiapan pasukan untuk pertemuan ini.

“Begitupun, kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan mereka. Kita pernah tewas kepada mereka dalam saingan Piala FA baru-baru ini, namun situasi perlawanan kali ini pasti berbeza.
“Kelebihan bermain pada waktu malam akan kami gunakan sebaik mungkin.

“Tempoh rehat saingan Liga Super sebelum ini juga memberikan ruang secukupnya untuk saya memperbaiki segala kelemahan dalam pasukan,” kata Hodak semalam.

Tambahnya, beliau menjangkakan perlawanan malam ini pasti sengit kerana kedua-dua pasukan mahu mencatatkan kemenangan dalam usaha mencari kedudukan terbaik dalam carta Liga Super.
Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu, beliau mahu tetap fokus terhadap empat baki perlawanan liga musim ini.

“Setiap perlawanan amat penting bagi Kelantan dan kita tidak akan mengambil mudah. Dua perlawanan iaitu bertemu Terengganu (malam ini) dan Pahang (25 Jun) amat penting sebagai persiapan sebelum ke final Piala FA.

“Jika kita menang dalam dua perlawanan itu, ia merupakan suntikan moral menjelang aksi final nanti,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan