Ahad, 16 Jun 2013

Real rosakkan rancangan City

LONDON - Rancangan pengurus baharu Manchester City, Manuel Pellegrini untuk membawa masuk dua bintang besar, Edinson Cavani dan Isco mampu dirosakkan gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid. 

City sudahpun memulakan rundingan dengan penyerang Uruguay, Cavani mahupun bintang tengah Sepanyol, Isco, malah bersedia berbelanja besar sekitar 80 juta pound (RM250 juta) untuk membawa masuk kedua-dua pemain itu. 

Bagaimanapun hasrat mereka itu mampu digagalkan oleh juara Eropah sembilan kali, Real yang turut menyuarakan minat untuk mendapatkan pemain yang sama. 

Cavani menjadi sasaran utama Pellegrini pada musim panas ini dan City sedia membayar 55 juta pound (RM171. 3 juta) untuk membebaskan penyerang berusia 26 tahun itu daripadanya kontraknya di Napoli. 

Begitupun bapa Cavani, Luiz mendedahkan anaknya lebih berminat untuk menyertai Real berbanding beraksi dalam kancah bola sepak Inggeris. 

"Impiannya adalah beraksi untuk Real Madrid. Dia amat teruja dengan peluang itu dan berharap perjanjian dapat dilakukan. 

"Saya juga berharap ia akan menjadi kenyataan dan persetujuan dicapai secepat mungkin. Siapa yang tidak mahu bermain untuk Real Madrid ?," kata Luiz. 

Menjadikan keadaan bertambah buruk, pemain antarabangsa Sepanyol, Isco, 21, juga mahu dilamar oleh Real dengan bayaran 30 juta pound (RM93.4 juta). 

Begitupun, Pellegrini memiliki kelebihan berbanding Real kerana dia lebih mengenali Isco kerana kedua-dua mempunyai hubungan yang amat baik ketika berkerja bersama di Malaga. 

Namun begitu, ia tetap belum menjamin Isco akan mengikuti jejak bekas jurulatihnya ke City kerana pemain muda itu memberitahu rakan-rakannya bahawa dia tidak sukar untuk menolak jika Real mengemukakan tawaran. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan