Isnin, 17 Jun 2013

'Saya cakap nanti kena marah'

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar seakan-akan sudah 'patah hati' dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketika diajukan soalan berhubung kemelut terbaharu yang melanda FAM membabitkan wang tajaan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia (Liga M) kepada persatuan bola sepak negeri-negeri, Khairy tidak lagi berminat menegur FAM biarpun mempunyai hak atas kapasitinya sebagai menteri berkaitan.

"Terpulang kepada FAM... ikut suka FAM. Saya pernah menjadi Timbalan Presiden FAM. Saya tahu apa yang berlaku dalam FAM. Saya cakap nanti kena marah.

"Biar ahli (majlis FAM) bercakap... kalau tak nak dengar cakap menteri yang budak berhingus ini, dengarlah cakap orang lain," kata Khairy kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Bagaimanapun, Khairy berkata, FAM sepatutnya mendengar pendapat ramai khususnya peminat bola sepak tempatan.

Baru-baru ini, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mempersoal FAM mengenai wang tajaan RM30 juta setahun yang diterima badan induk itu berhubung hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia (Liga M). 

Beliau berkata, FAM sepatutnya menyalurkan wang berkenaan bagi membantu persatuan-persatuan bola sepak negeri yang menghadapi masalah kewangan. 

Namun, sehingga kini, FAM mengambil pendekatan berdiam diri dan enggan menjawab persoalan yang dibangkitkan itu. 

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim perlu mendapat persetujuan Kabinet jika berhasrat untuk terus menerajui Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sehingga Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Beliau berkata, setakat ini tiada pengecualian bagi Shahidan memegang jawatan tersebut seperti yang termaktub dalam arahan Kabinet pada 2007. 

Mengikut arahan tersebut, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen dilarang daripada memegang sebarang jawatan dalam sebarang persatuan sukan tempatan. 

Khairy menegaskan, jika Shahidan berkeras mahu kekal dalam ASUM, bekas Menteri Besar Perlis itu perlu mengemukakan cadangan membatalkan arahan tersebut pada mesyuarat Kabinet akan datang. 

"Saya akan bertemu dengan beliau (Shahidan) pada Rabu ini bagi menerangkan secara jelas berhubung kedudukan itu. Saya akan ingatkan beliau, kecuali ada pengecualian daripada jemaah menteri yang batal keputusan yang lepas.

"Bagi saya sebagai menteri, saya tiada masalah kalau menteri Kabinet nak pegang jawatan selagi dia bukan Menteri Belia dan Sukan," katanya. 

Sebelum ini, Shahidan menyatakan hasrat untuk mengekalkan jawatan Presiden ASUM sehingga Olimpik 2016 kerana beliau mempunyai banyak perancangan bagi memartabatkan lagi sukan itu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan