Khamis, 15 Ogos 2013

Luiz bukan untuk dijual



LUIZ (kanan) dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.


LONDON - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho menegaskan, kelab itu tidak akan menjual pemain pertahanan, David Luiz meskipun mendapat tawaran lumayan daripada kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Bintang Brazil berusia 26 tahun itu telah dikaitkan dengan perpindahan mengejut ke Sepanyol.
Bagaimanapun, pengurus yang mendapat jolokan The Special One itu menegaskan, Luiz mempunyai perancangan jangka panjang di Stamford Bridge.

"Tiada sebab untuk Luiz meninggalkan kami. Dia merupakan aset jangka panjang kami. Dia masih mempunyai baki kontrak selama empat tahun dan baharu menandatangani kontrak tahun lalu.
"Kami memerlukan khidmatnya. Dia juga merupakan pemain yang sangat penting dalam pasukan ini. Saya ingin tegaskan bahawa kami belum bersedia melepaskannya walaupun mendapat tawaran lumayan," kata Mourinho.

Luiz tiba di England pada 2011 daripada Benfica dan menandatangani kontrak baharu 11 bulan yang lalu.

Ketika ini, timbul spekulasi yang mengaitkan Luiz dengan skuad The Catalan.
Mourinho berkata, beliau tidak mengetahui tentang perkara itu tetapi enggan menolak kemungkinan bahawa Luiz pernah menyuarakan keinginannya itu.

"Kali terakhir saya terbaca kenyataan Luiz adalah ketika dia mendakwa tidak akan bercakap mengenai kelab apabila bersama skuad kebangsaan.

"Saya menganggap ia satu kenyataan sangat matang dan dia merupakan pemain yang sangat bijak," jelas Mourinho. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan