Ahad, 25 Ogos 2013

Godin punca Messi cedera



MESSI (dua dari kanan) mengalami kecederaan pada aksi pertama Piala Super Sepanyol menentang Atletico Madrid awal Khamis lalu.


LONDON - Pemain pertahanan Atletico Madrid, Diego Godin mengakui bahawa dia mengarahkan rakan sepasukan, Miranda supaya melakukan terjahan kepada Lionel Messi pada aksi pertama Piala Super Sepanyol awal Khamis lalu.

Pada aksi yang berkesudahan 1-1 di Stadium Vicente Calderonitu itu, bintang Barcelona, Messi terpaksa dikeluarkan ketika rehat selepas mengalami kecederaan paha.

Pemeriksaan yang dilakukan ke atas penyerang Argentina itu mendapati dia mengalami kecederaan pada tendon otot paha kirinya.

Pengulas televisyen mendapati Godin memberitahu rakan sepasukannya itu supaya menendang belakang paha Messi selepas dia berjalan terhencot-hencot kerana kesakitan.

Messi pernah mengalami masalah ditempat yang sama sebelum ini dan hanya beraksi selama 90 minit dalam satu perlawanan sejak cedera pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara, April lalu.

Rakaman televisyen itu tersebar dengan pantas dalam kalangan media Sepanyol dan antarabangsa, sekali gus menyaksikan kapten Uruguay itu dikritik hebat berikutan tindakannya itu.

Begitupun, Godin tampil dalam satu temu bual memberitahu bahawa perkara itu adalah sebahagian daripada adat resam dalam permainan bola sepak.

"Tindakan itu hanya bermotifkan bola sepak semata-mata dan mereka yang bermain bola sepak sahaja yang akan tahu apa maknanya," kata Godin.

"Saya lihat dia menyentuh pahanya yang sakit itu. Jadi, saya beritahu rakan sepasukan saya supaya mereka tahu di mana mereka perlu memberi tekanan ke atas pemain itu.
"Kami komited dengan permainan kami iaitu kami akan cuba merampas setiap bola dan itulah yang membuatkan kami menang," katanya.

Messi tidak bermain pada aksi Liga Sepanyol bertemu Malaga awal pagi semalam, namun dia mungkin akan diturunkan pada aksi kedua Piala Super Sepanyol menentang Atletico di Stadium Nou Camp awal pagi Khamis depan. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan