Selasa, 20 Ogos 2013

Arsenal dalam situasi bahaya


ISTANBUL - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui anak-anak buahnya perlu mengelak daripada mengalami kekalahan yang memalukan pada aksi playoff pertama Liga Juara-Juara menentang Fenerbahce di Instanbul awal pagi esok.

Reputasi skuad The Gunners tercalar selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Aston Villa pada aksi pembukaan Liga Perdana England di Stadium Emirates, Sabtu lalu.

Persembahan tidak menyakinkan Arsenal ketika menentang Villa menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat-peminat.

Kini, mereka menyalahkan Wenger yang gagal mengotakan janji untuk memperkuatkan pasukan dengan mendapatkan pemain-pemain baharu yang berkualiti.

Selepas kemarau trofi selama lapan tahun, Wenger dan barisan pemain menyedari skuad The Gunners bakal berdepan ancaman hebat pada penyokong sendiri sekiranya gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Selain itu, krisis kecederaan pemain turut menyukarkan misi Wenger terutamanya apabila hanya mempunyai lapan pemain senior disahkan cergas sepenuhnya.

Perancang England, Alex Oxlade-Chamberlain dijangka berehat selama beberapa bulan selepas ditimpa kecederaan lutut yang serius.

Selain itu, Kieran Gibbs, Bacary Sagna, Thomas Rosicky dan Aaron Ramsey menyertai Mikel Arteta, Nacho Monreal dan Thomas Vermaelen yang sebelum ini ditimpa kecederaan pangkal paha.
Situasi itu meletakkan Wenger dalam situasi tertekan untuk mengintai kemenangan di Turki.

"Kami terlepas banyak peluang (ketika menentang Villa) dan nasib tidak menyebelahi kami selain menghadapi krisis kecederaan pemain.

"Jika diambil kira ketiga-tiga masalah itu, jelas menunjukkan bahawa Arsenal dalam keadaan bahaya tetapi saya tidak mahu kelemahan itu menjadi bebanan kepada kami.

"Saya yakin, Arsenal akan memberikan satu persembahan yang menyakinkan sekiranya kami berjaya bangkit daripada kekalahan (di tangan Villa).

"Selepas aksi mengecewakan pada perlawanan pertama liga, ia akan menyulitkan usaha kami tetapi kami akan kembali di landasan sebenar kerana semangat dan fokus pasukan ini sangat baik," kata Wenger. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan