Jumaat, 16 Ogos 2013

Skuad Kenari dapat sentuhan Cardiff City

  BERITA hARIAN
Alor Setar: Skuad Kenari melakar sejarah tersendiri apabila mendapat khidmat latihan dan kepakaran daripada pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Cardiff City FC apabila kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU), di sini, malam kelmarin.

MOU itu ditandatangani Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) diwakili Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormatnya, Aminuddin Omar manakala Cardiff City FC diwakili Pengarahnya, Datuk Lye Ek Seang.
Ia turut disaksikan Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir dan Presiden KFA serta pemilik Cardiff City FC, Tan Sri Vincent Tan.


Pada majlis itu, Vincent turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM2 juta kepada KFA.

Tukar pemain

Melalui MoU berkenaan, kerjasama diadakan yang membabitkan aspek kemahiran pemain, kejurulatihan dan pengurusan kelab. Ia memberi lembaran baru kepada bola sepak Kedah yang kempunan sebarang trofi sejak memenangi tiga kejuaraan lima tahun lalu.

Usaha sama itu turut membabitkan cadangan penubuhan akademi bola sepak yang dijangka diadakan di Sungai Petani bagi membangunkan sukan itu di peringkat akar umbi.
Mukhriz pada sidang medianya berkata, jalinan kerjasama dengan pasukan Cardiff City FC itu diharap memberi kesan terhadap prestasi skuad Kenari dalam mengharungi Piala Malaysia, dengan perlawanan pertama 20 Ogos ini bertemu Lions XII di Singapura.

“Kita juga akan membincangkan berhubung pertukaran pemain dengan kelab liga Inggeris itu dan mungkin ada peluang pemain pasukan Hijau Kuning menjalani latihan di pusat latihan Cardiff City FC, England,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan