London: Pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas menegaskan perpindahan pemainnya, Gareth Bale ke Real Madrid masih belum dimuktamadkan tetapi menjangkakan rundingannya itu akan selesai dalam tempoh 48 jam.

Bale berada di Madrid ketika rakan sepasukannya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Swansea di White Hart Lane, malam kelmarin untuk Tottenham meraih enam mata maksimum selepas menang dengan jaringan sama ke atas Crystal Palace, minggu lalu.
Sama ada perpindahan Bale terjadi atau tidak, harap ada berita mengenainya dalam tempoh beberapa hari ini dan buat masa ini, tiada apa yang boleh saya katakan.


Kami benarkan dia (Bale) cuti dua hari. Ini bukan kali pertama. Kami tak pernah paksa pemain yang tidak disenaraikan untuk hadir menonton perlawanan kami. Latihan akan kembali bersambung Selasa (hari ini) dan saya jangka dia akan berada di sana, kata Villas-Boas.

Mentaliti baru

Usaha Tottenham mencari pengganti Bale terjejas apabila hasrat untuk mendapatkan pemain tengah Anzhi Makhachkala, Willian tidak kesampaian apabila pemain berkenaan memilih untuk menyertai Chelsea meskipun sudah menjalani ujian perubatan bersama Tottenham.

Lantas Villas-Boas dipercayai cuba mendapatkan penyerang Zenit St Petersburg, Hulk serta pemain pertahanan tengah Steaua Bucharest, Vlad Chiriches.
Biarpun tanpa Bale, Tottenham meraih tiga mata penuh ke atas Swansea menerusi sepakan penalti Roberto Soldado, jaringan keempat pemain Sepanyol itu dalam tiga perlawanan bersama Tottenham. - AFP