Selasa, 20 Ogos 2013

Pellegrini puji aksi Dzeko



DZEKO (kanan) beraksi dengan baik ketika City menang 4-0 ke atas Newcastle di Stadium Etihad awal pagi semalam.


MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini yakin Edin Dzeko sudah bersedia untuk menampilkan potensi sebenarnya di Eastlands.

Dzeko menyertai City dari Wolfsburg dengan yuran perpindahan sebanyak £27 juta (RM139.3 juta) pada Januari 2011, namun penyerang Bosnia itu bergelut untuk berada dalam kesebelasan utama skuad The Citizens.

Penyerang berusia 27 tahun itu menjadi penjaring terbanyak City musim lalu selepas meledakkan 14 gol.

Bagaimanapun, spekulasi tetap tersebar mengenai perpindahannya ke kelab lain selepas ketibaan beberapa pemain berprofil tinggi seperti Alvaro Negredo dan Stevan Jovetic musim panas lalu.

Begitupun, Dzeko beraksi dengan baik ketika City menang 4-0 ke atas Newcastle United pada aksi pertama Liga Perdana England di Stadium Etihad awal pagi semalam, sekali gus meyakinkan Pellegrini bahawa dia mampu menampilkan kemampuan sebenarnya sebagai penyerang utama di kelab itu.

"Saya mempunyai keyakinan penuh kepada Dzeko. Dia tidak bernasib baik kerana gagal menjaringkan gol ketika menentang Newcastle meskipun dia memiliki banyak peluang dan beraksi dengan baik.

"Kami tahu dia seorang pemain yang hebat ketika memegang bola.

"Dia bekerja keras untuk merampas semula bola. Selain itu, dia turut memperoleh tiga atau empat peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

"Saya yakin, kami akan dapat melihat penampilan sebenar Dzeko musim ini seperti mana ketika City membelinya dari Wolfsburg dua tahun lalu," kata Pellegrini.

Pada aksi awal pagi semalam, David Silva meletakkan City di depan pada minit keenam sebelum Sergio Aguero menggandakan jaringan pada minit ke-22.

Yaya Toure menambah gol ketiga pada minit ke-50 sebelum Samir Nasri menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-75. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan