STURRIDGE menjaringkan gol kemenangan 1-0 Liverpool ke atas Stoke di Stadium Anfield malam tadi. 
 | 
LONDON, England – Daniel Sturridge membuktikan bahawa Liverpool mampu
 bersaing dalam perebutan trofi Liga Perdana England musim ini meskipun 
tanpa sentuhan penyerang kontroversi, Luis Suarez.
Sturridge, 23, menyuntik keyakinan itu selepas dia tidak 
mempersia-siakan peluang untuk menjaringkan gol pertama pada kempen Liga
 Perdana England musim ini.
Penyerang England itu membuktikan sentuhannya sangat berbisa apabila 
menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 Liverpool ke atas Stoke City 
pada aksi pembukaan liga di Stadium Anfield malam tadi.
Sturridge mengawal bola dengan bijak sebelum melepaskan rembatan 
kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Stoke, 
Asmir Begovic pada minit ke-31.
Jaringan Sturridge itu cukup penting buat skuad bimbingan Brendan 
Rodgers yang beraksi tanpa Suarez yang dikaitkan dengan perpindahan ke 
Arsenal. 
Bagaimanapun, penjaga gol baharu skuad The Reds, Simon Mignolet 
dijulang sebagai wira berikutan kejayaannya menggagalkan sepakan penalti
 yang diambil Jonathan Walters pada minit ke-89 sebelum percubaan 
susulan menerusi pemain gantian Stoke, Kenwyne Jones.
Mignolet yang dibeli daripada Sunderland menandatangani kontrak 
selama lima tahun dengan Liverpool pada 25 Jun lalu dengan bayaran 
sebanyak £9 juta (RM46 juta).
Sementara itu, Suarez menyaksikan perlawanan itu di tempat duduk 
penonton selepas digantung perlawanan ekoran menggigit pemain pertahanan
 Chelsea, Branislav Ivanovic musim lalu.
Dia juga terpaksa menjalani latihan secara bersendirian selepas 
mendakwa Rodgers mengingkari perjanjian untuk menjualnya setelah 
Liverpool gagal melayakkan diri ke kempen Liga Juara-Juara musim ini. – 
Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan