Sabtu, 17 Ogos 2013

Anuar sekadar 'panas badan'


ANUAR (kiri) berbincang dengan pengurus pasukannya, David McCann mengenai laluan Jelajah Borneo 2013 di Kota Kinabalu, Sabah semalam.


PELUMBA pecut negara, Anuar Manan mahu untuk menggunakan peluang beraksi pada Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Borneo (ToB) 2013 sebagai medan pemanas badan selepas pulih daripada kecederaan.

"Saya berehat lebih sebulan akibat kecederaan tulang belakang dan kaki (selepas terlibat dengan kemalangan semasa latihan pada Mei lepas). Saya hanya mula menjalani latihan ringan dua minggu lepas. Itupun hanya pada sebelah malam semasa bulan puasa lalu.

"Selepas Hari Raya kedua, saya terus menjalani latihan untuk menghadapi ToB 2013. Perlumbaan ini dianggap sebagai pemanas badan untuk persediaan saya menghadapi perlumbaan lain selepas ini," katanya semalam.

Pelumba berusia 26 tahun dari Kuala Ibai, Terengganu itu mewakili pasukan benua, Synergy Baku Cycling Team dari Azerbaijan.

Akibat kecederaan itu, pakar fisiologi Institut Sukan Negara (ISN) menasihatkan Anuar agar berehat daripada menyertai mana-mana perlumbaan untuk pulih sepenuhnya.

Mengulas mengenai ToB 2013, Anuar itu tidak meletak sasaran yang tinggi berdasarkan pada tahap kecergasan dirinya selepas pulih daripada kecederaan.

"Bagaimanapun, jika ada peluang dan ruang untuk saya, sudah pasti saya tidak akan lepaskan peluang itu," katanya.

Berdasarkan pengalaman bersaing di Eropah, Anuar melihat laluan yang bakal ditempuhi peserta agak berpihak kepadanya, jika kecergasan beliau berada di tahap terbaik.

"Untuk perlumbaan ini, pasukan lain juga mempunyai pakar pecut masing-masing. Jika dilihat tahap kecergasan saya sebelum cedera, memang saya mempunyai peluang untuk menaiki podium.
"Kali ini, saya kena tengoklah sejauh mana kemampuan saya," katanya.

Selepas edisi kedua ToB 2013, Anuar dijadual menyertai Tour of East Java, Tour of China I, Tour of China II dan Tour of Hainan. - Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan