Ahad, 18 Ogos 2013

'Saya mahu jadi seorang legenda'



GAYA SANG JUARA... Bolt meraikan kejayaannya meraih pingat emas acara 200m pada Kejohanan Olahraga Dunia 2013 di Stadium Luzhniki, Moscow, Rusia awal pagi semalam.


MOSCOW - Pelari sensasi Jamaica, Usain Bolt berhasrat meletakkan namanya sebagai legenda suatu hari nanti.

Bolt berkata demikian sejurus kejayaannya meraih pingat emas dalam acara 200 meter pada Kejohanan Olahraga Dunia 2013 awal pagi semalam.

Ia merupakan emas ketiga berturut-turut yang dimenangi Bolt dalam acara tersebut pada Kejohanan Olahraga Dunia.

Kini Bolt telah mengumpul lapan emas pada kejohanan berprestij itu selepas dia meraih tiga emas - 100m, 200m dan 4x100m pada edisi 2009 di Berlin, Jerman.

Pada Kejohanan Dunia 2011 di Daegu, Korea Selatan, pelari berusia 26 tahun itu meraih dua emas - 200m dan 4x100m.

Ahad lalu, Bolt membuktikan betapa dia masih layak digelar jagoan pecut dunia apabila mengungguli acara 100m.

Lewat malam tadi, Bolt mengetuai kuartet Jamaica mengungguli acara 4x100m lari berganti-ganti dengan masa 37.36 saat (s).

Kuartet Amerika Syarikat (AS) meraih pingat perak dengan catatan 37.66s manakala Britain mengutip gangsa (37.80s).

Dengan kejayaan itu, Bolt kini menyamai rekod lapan emas yang diraih dua bekas atlet AS, Carl Lewis dan Michael Johnson.

Begitupun, Bolt yang juga pemenang enam emas Sukan Olimpik menegaskan, rekod tersebut tidak memberikan apa-apa makna kepada dirinya.

"Impian utama saya adalah untuk menjadikan diri saya sebagai legenda," kata Bolt yang merekodkan masa 19.66 saat pada saingan akhir 200m di Stadium Luzhniki semalam.

Rakan senegaranya, Warreb Weir memenangi perak dengan catatan 19.79s, sekali gus menyekat pelari AS, Curtis Mitchell yang sekadar meraih gangsa (20.04s).

"Sasaran saya adalah untuk mempertahankan gelaran saya pada Sukan Olimpik akan datang.

"Saya telah bekerja keras untuk mengumpul pingat emas pada Kejohanan Dunia, kemudian menuju ke Olimpik untuk memenangi 100m dan 200m sekali lagi," jelas Bolt.

Bolt yang memenangi tiga emas - 100m, 200m dan 4x100m lari berganti-ganti - pada temasya Olimpik 2008 dan 2012 menambah: "Saya mahu beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil.
"Masalahnya sekarang, saya akan semakin tua dan saya terlepas beberapa minggu (pada musim ini kerana kecederaan).

"Kini saya perlu memberi perhatian (untuk beraksi di Brazil. Saya tidak boleh lagi mengalami kecederaan."

Bolt merupakan pemegang rekod dunia dalam acara 100m dan 200m, masing-masing dengan catatan 9.58s serta 19.19s yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2009 di Berlin.

Sementara itu, kuartet wanita Jamaica memperbaharui rekod kejohanan dalam acara 4x100m dengan catatan 41.29s.

Sebelum ini, rekod acara itu dilakukan kuartet wanita AS dengan masa 41.47s pada Kejohanan Dunia 1997 di Greece. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan