Ipoh: Perak terus menyempitkan laluan Lions XII dalam kempen Piala Malaysia Kumpulan D hasil kejayaan menundukkan skuad dari Singapura itu 1-0 di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Bagaikan kebal di gelanggang sendiri, Perak yang belum tumpas setakat ini, memperoleh jaringan tunggal menerusi Azlan Ismail seawal minit ke-9.
Jaringan itu kekal sehingga babak pertama berakhir.


Walaupun Lions XII menambah tekanan pada babak kedua, Perak berjaya menghalang rentetan percubaan berbahaya pelawat untuk memastikan kemenangan kedua skuad itu pada kempen kali ini.

Kemenangan itu menyaksikan Perak bagaikan sudah berada satu kaki untuk ke suku akhir apabila mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Selepas tiga perlawanan, Lions XII kini berada di laluan yang sukar selepas sekadar mengutip satu mata dan perlu menang dalam baki tiga perlawanan selepas ini bermula dengan Perak di Stadium Jalan Besar, Sabtu depan.

l Di Alor Setar, dalam satu lagi saingan Kumpulan D, Kedah dan Sarawak sekadar seri 0-0 sekali gus menyaksikan skuad Hijau Kuning terus gagal memburu kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut dalam kempen kali ini.
Sekalipun hampir di depan, jaringan hasil rembatan padu Baddrol Bakhtiar pada minit ke-39 dibatalkan pengadil akibat Khyril Muhymeen Zambri yang dikatakan ofsaid

Perdaya pertahanan

Pada babak kedua, permainan tambah rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan cubaan terbaik Sarawak muncul menerusi penyerang Bobby Gonzalez yang berjaya memperdaya dua pertahanan Kedah pada minit ke-56, namun rembatan kencangnya sekadar menggegar palang, diikuti tandukannya turut melencong ke kanan gawang.

Kedah turut mempunyai peluang terhidang menerusi pemain tengah, Mohd Syazwan Zainon dua minit kemudian yang berjaya memperdaya perangkap ofsaid pertahanan Sarawak, Mafry Balang, tetapi kelewatannya melepaskan rembatan membuatkannya berputih mata.

Sarawak kini di kedudukan kedua Kumpulan D apabila mengumpul empat mata diikuti Kedah, tiga mata manakala Lion XII, satu mata.