Isnin, 26 Ogos 2013

Seladang tekad ratah Singa

Oleh Azizan Hashim 
 
Ipoh: Selepas Kedah dan Sarawak tunjuk bisa menjinakkan Lions XII, Perak bertekad mengikuti jejak kedua-dua pasukan itu apabila turun melayan kunjungan juara Liga Super itu dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Perak, malam ini.

Jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kejayaan Kedah mengikat Lions XII 2-2 di Stadium Jalan Besar dan keupayaan juara Liga Perdana Sarawak mengejutkan anak buah V Sundramoorthy 2-1 harus menjadi rangsangan terbaik kepada anak buahnya untuk membenam juara Liga Super itu.

Tidak mahu diperangkap


Jika kedua-dua pasukan itu (Kedah dan Sarawak) mampu menjinakkan Lions XII, mengapa kita tidak. Jadi, saya mahu pemain menjadikan kejayaan kedua-dua pasukan itu contoh terbaik betapa juara Liga Super itu bukan terlalu kebal untuk ditumpaskan.

Saya percaya jika mereka mengikut segala percaturan yang sudah direncanakan dan tidak melakukan kesilapan mudah, kemenangan sudah pasti berada dalam genggaman sekali gus mencerahkan peluang kita ke suku akhir, katanya semalam.

Mohd Azraai yang terkenal dengan magisnya dalam kempen Piala Malaysia apabila membantu Kedah dan Negeri Sembilan menjulang piala berprestij itu bagaimanapun mengingatkan anak didiknya tidak terlalu yakin membenam lawan.

Kami perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap dalam kebangkitan lawan yang sudah tentu tidak mahu tewas kerana akan menjejaskan peluang mereka ke suku akhir. Malah, mereka sudah tentu tidak mahu status mereka sebagai Liga Super dicemari dengan gagal ke saingan kalah mati, katanya.

Bagi menghadapi perlawanan malam ini, Azraai dijangka menurunkan kesebelasan sama ketika seri 1-1 menentang Kedah, Sabtu lalu yang menyaksikan dua pemain muda, Mohd Norhakim Isa dan Mohammad Syahmil Khairi beraksi cemerlang mengekang pemain lawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan