Rabu, 21 Ogos 2013

Negeri Sembilan merendah diri


MANAF (depan) dicabar pemain pertahanan Negeri Sembilan, Abdul Halim Zainal pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.


PENGENDALI sementara Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah tetap merendah diri selepas anak-anak buahnya mengejutkan Terengganu 2-0 pada aksi sulung Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Ridzuan menganggap skuad Hoben Jang Hoben yang dilabel sebagai pasukan underdog selepas menghuni tangga tercorot Liga Super musim ini bernasib baik meraih tiga mata berharga di gelanggang lawan.

"Tidak ada aksi yang luar biasa. Semuanya biasa-biasa sahaja. Cuma aksi barisan hadapan kami agak menjadi malam tadi (kelmarin).

"Penyerang (Fabio Leandro Barbosa) dan pemain tengah (S. Sivanesan) tidak mempersia-siakan peluang yang terhidang.

"Abdul Halim (Zainal), Mohd. Nazrin (Mohd. Nawi) dan beberapa pemain lain turut bermain dengan baik sepanjang perlawanan itu," kata Ridzuan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada aksi kelmarin, Leandro Barbosa meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-38 sebelum Sivanesan menambah gol kedua pada minit ke-53, kedua-duanya hasil lorongan pemain tengah, Eddy Helmi Abdul Manan.

Skuad Penyu berpeluang untuk mengurangkan defisit jaringan apabila Abd. Manaf Mamat dikasari pemain pertahanan Negeri Sembilan, sekali gus dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-82.
Bagaimanapun, penjaga gawang Negeri Sembilan, Badrulzaman Abdul Halim berjaya mengekang rembatan kencang Manaf.

Ridzuan berkata, kemenangan itu sangat penting terutama dalam usaha Negeri Sembilan mencari momentum bagi mengharungi baki saingan peringkat kumpulan selepas ini.

"Bukan kami sahaja yang melakukan kejutan malam tadi (kelmarin). Beberapa pasukan lain turut melakukan kejutan. Ini merupakan perlawanan pertama dan semua pasukan cuba untuk mencari keserasian.

"Masih banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi dan kami tidak boleh terlalu gembira," jelas Ridzuan.

Mengulas aksi kedua Kumpulan C menentang Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Sabtu ini, Ridzuan berkata, anak-anak buahnya sekali lagi turun selaku underdog kerana mereka tidak pernah menewaskan skuad kendalian Dollah Salleh itu sepanjang musim ini.

"Pahang sudah pasti dilabel sebagai pasukan pilihan berdasarkan rekod pertemuan kami musim ini. Bagaimanapun, kami akan mencuba untuk melakukan satu lagi kejutan," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan