Sabtu, 17 Ogos 2013

Lupa suasana Stamford Bridge


Jose Mourinho 
 
LONDON - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho percaya saingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini lebih terbuka menjelang aksi pertamanya bersama Blues menentang Hull, hari ini.

Mourinho akan kembali ke Stamford Bridge melayan kunjungan skuad Steve Bruce, yang baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana, enam tahun selepas dia membawa skuad Blues ke era kegemilangan selama tiga tahun di kelab itu.

Pengurus dari Portugal itu membawa Blues memenangi Liga Perdana dua musim berturut-turut dan kepulangannya menjadikan Chelsea calon juara untuk merampas kejuaraan daripada Manchester United.

Mourinho, yang meninggalkan Real Madrid mendakwa saingan lebih terbuka berbanding musim-musim lalu.

"Saya yakin Liga Perdana sebuah liga yang hebat kerana banyak pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.

"Ia hebat kerana saingannya lebih seimbang, sejak beberapa tahun lalu pasukan yang baik kini bertambah baik.

"Mungkin pada Disember atau Januari ini anda kita dapat tahu pasukan mana yang tidak cukup kuat untuk mencabar kejuaraan. Namun pada peringkat awal saingan, saya rasa enam pasukan akan bersaing," katanya.

Mourinho juga mengakui dia menjangkakan kepulangan penuh emosi di Stamford Bridge di hadapan penyokong Chelsea dan bercadang untuk mengelilingi stadium bersama para pemain sebelum sepak mula perlawanan malam ini.

Chelsea mengharungi siri jelajah pramusim di seluruh dunia namun pemain baharu termasuk Andre Schurrle dan Marco van Ginkel, belum lagi merasai pengalaman beraksi di padang sendiri.

"Bukan saya sahaja yang sudah sekian lama tidak merasai suasana di Stamford Bridge tetapi pemain baharu juga masih tidak tahu di mana letaknya bilik persalinan.

"Kami berlatih di Stamford Bridge semalam untuk pemain biasa dengan suasana stadium, di mana bilik persalinan, di mana terowong ke bilik persalinan juga bagaimana keadaan padang. Mereka tidak pernah berada di sana.

"Kembali semula ke Stamford Bridge sudah pasti satu suasana dan perasaan yang berbeza. Saya melaluinya ketika saya bersama Inter Milan," kata Mourinho.

Pertahanan dari Brazil, David Luiz tidak dapat beraksi hari ini manakala pemain tengah Sepanyol, Juan Mata mengalami kecederaan pada penghujung siri jelajah pramusim.

Van Ginkel dan Schurrle mungkin akan diturunkan serta Kevin De Bruyne yang menghabiskan masa musim lalu dipinjamkan ke Werder Bremen. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan