| 
SENYUM melirik yang terbit daripada ulas bibirnya cepat menghantar 
isyarat. Darah muda dalam tubuhnya tidak sementah yang disangka. Itu 
yang terzahir sebaik patah bicaranya meluncur laju. Dia bukan Izara 
Aishah yang pernah dilihat keanak-anakan beberapa tahun lalu.
Dalam waktu yang singkat, langkah kembara seni yang dilalui 
membawanya ke fasa dewasa. Berdiri atas kaki sendiri atau lebih ringkas 
disebut berdikari, prinsip itu sedang digalas wanita berumur 21 tahun 
ini setelah empat tahun berkecimpung dalam industri.
"Sekarang saya dalam proses memperbetulkan banyak perkara," katanya menghela nafas panjang.
Ibarat melepaskan apa yang tersimpan dalam dada, Izara membuka cerita.
"Sekarang saya mahu pihak di luar sana tahu bahawa saya tidak 
bernaung di bawah mana-mana pengurusan. Saya mengurus karier seni 
sendiri tetapi jika ada isu berhubung kontrak atau perjanjian melibatkan
 penjenamaan atau duta produk, hal itu saya serahkan kepada ibu. Dia 
yang bertanggungjawab," katanya.
Empat tahun cukup sebagai pengenalan buat Izara mengenal sepak 
terajang bergelar selebriti. Usah diungkit banyak omongan negatif yang 
pernah terpalit ke mukanya, Izara enggan menyalahkan sesiapa. Dia pernah
 dituduh budak sombong, tidak berdisiplin dan sukar memberikan kerjasama
 melibatkan hal-hal tertentu, namun semua itu ditelan penuh optimis.
"Ada perkara berlaku tanpa kehendak kita, ada juga yang berlaku di 
luar kawalan. Supaya saya tidak keliru dan tidak menyalahkan sesiapa, 
sekarang, biarlah saya yang bertanggungjawab. Rupa-rupanya okey juga 
bergerak sendiri, sudah setahun lebih saya susun jadual dan buat 
keputusan sendiri berhubung soal kerja. Mula-mula malu juga bila masuk 
soal bayaran, tapi saya ikut skala dan cara pengurus saya terdahulu 
mengendalikan hal berkenaan, lama-lama saya selesa," katanya mempamerkan
 sisi dewasa.
 
EMPAT tahun dalam industri, bermula 
sebagai gadis belasan tahun yang menyertai Dewi Remaja kini Izara  
menampakkan sisi matang untuk melangkah menjadi bintang pujaan ramai.  
 | 
Leka seketika menyaksikan bintang muda itu berterus-terang tentang 
dirinya, emosi raya yang masih menyelubungi menyerlahkan seri wajah 
Izara. Masa rehat seminggu bercuti sudah habis, sekarang tumpuan 
penuhnya adalah tentang rutin pekerjaan.
"Buat masa ini saya tiada penggambaran. Tapi, itu tak bermakna jadual
 saya kosong, sekarang masa untuk saya penuhi banyak undangan dan 
permintaan. Kalau tidak, orang kata saya sombong, ikut haluan kiri atau 
menolak media. Sekarang masa untuk saya bersihkan semua itu," katanya 
seperti ada rajuk di hati.
Jadi zombi
Sedikit terkilan namun Syawal yang masih bersisa ini memberikan 
banyak hikmah buat Izara. Semua itu mahu dibilas tanpa prasangka. 
Sementelah buah tangan pertama yang akan menyaksikan kemunculan 
pertamanya ke layar perak, KL Zombi akan mula ditayangkan pada 29 Ogos 
nanti. Itu semua kebetulan yang sangat mengujakan Izara untuk bertemu 
khalayak.
"Selama ini saya sibuk dengan penggambaran. Bulan lepas, saya habis 
penggambaran filem Showdown The Movie. Semasa dalam tempoh penggambaran,
 saya jenis tidak ambil komitmen lain walaupun sesi fotografi. Prinsip 
saya buta kerja biarlah satu demi satu, mungkin sebab itu juga ada pihak
 merungut sukar untuk dapatkan komitmen daripada saya," katanya yang 
lama tidak muncul menghiasi drama-drama televisyen.
Mengumpul perhatian hasil impak daripada siri-siri popular seperti 
Kasihmu Laila, Vanila Coklat, Soraya dan Oh! My English, seingat Izara 
judul drama bersiri terakhirnya ialah Naziha yang disiarkan pada 
pertengahan tahun lepas.
"Ramai ingat saya menyepi tapi sebenarnya tidak. Alhamdulillah, 
rezeki filem lebih memihak kepada saya ketika ini tapi itu tak bermakna 
saya lupakan lakonan dalam drama. Saya terima tawaran yang datang 
terlebih dahulu, banyak juga tawaran untuk drama terpaksa dilepaskan 
kerana ada komitmen filem.
 
JELITAWAN muda, Izara  bakal membuat penampilan sulungya ke layar perak bermula 29 Ogos nanti menerusi filem KL Zombi di sisi Zizan Razak, Siti Saleha Zain Hamid dan Azhan Rani.  
 | 
"Untuk KL Zombi pula, watak saya tidaklah besar. Saya melakonkan 
watak Ana, seorang guru sekolah rendah yang dijangkiti virus zombi 
daripada seorang lelaki lakonan Zain Ruffedge," katanya yang belajar 
untuk menghidupkan karakter zombi daripada YouTube.
Melakonkan watak zombi yang menuntut solekan buruk, karakter watak 
tanpa dialog yang jelas serta pergerakan tubuh tidak normal sebenarnya 
bukan satu seksaan buat Izara.
"Mungkin orang ingat, jadi zombi itu senang, saya pun fikir begitu 
juga semasa mula-mula terima tawaran, tapi bila masuk ke lokasi, 
karakter itu agak susah juga buat saya. Kena banyak buat rujukan, tengok
 filem dan belajar daripada YouTube.
"Saya juga tidak kisah dengan karakter sebegitu, bagi saya, apa 
sahaja watak, walaupun watak hantu, asalkan ia menarik dan beri 
pengalaman baharu, saya akan terima. Saya tak kisah nampak buruk dalam 
skrin tapi saya pentingkan lakonan," katanya yang turut membintangi dua 
buah filem iaitu Sejoli dan Pilot Cafe karya Osman Ali.
Mengenangkan ilmu yang diperoleh dari lokasi penggambaran, pelakon 
filem Balun itu mengakui banyak mengutip nasihat daripada pelakon hebat 
yang juga pengarah wanita, Ellie Suriaty Omar. Bertindak sebagai guru 
lakonannya menerusi filem Pilot Cafe, Izara menyifatkan pengalaman 
berlakon dalam filem berkenaan sebagai cabaran terhebat buatnya setakat 
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan