Rabu, 2 Oktober 2013

Chelsea bangkit garang belasah Steaua Bucharest 4-0


Ramires memperdaya penjaga gol Steaua Bucharest, Ciprian Tatarusanu untuk menjaringkan gol dalam saingan Liga Juara-Juara di National Arena, Bucharest, semalam. Chelsea menang 4-0. - AFP 
 
BUCHAREST, Romania - Chelsea kembali semula ke landasan saingan selepas membelasah Steaua Bucharest 4-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan E Liga Juara-Juara, semalam.

Dalam aksi pembukaan musim sebelum ini, Chelsea tewas mengejut 1-2 kepada Basel.

Skuad Blues yang menguasai permainan sejak awal perlawanan membuka jaringan menerusi Ramires seawal minit ke-20.

Chelsea terus mengukuhkan kedudukan apabila Steaua dihukum dengan jaringan sendiri Daniel Georgievski sebelum Ramires dan Frank Lampard menokok dua lagi gol dalam babak kedua.

Namun, malang buat Fernando Torres apabila terpaksa dikeluarkan selepas mendapat kecederaan lutut ketika perlawanan berusia 11 minit dan dia digantikan dengan Samuel Eto'o.

Ketiadaan Torres memberi sedikit ruang buat Steaua dengan mempamerkan gerakan-gerakan menarik, namun penguasaan tuan rumah tidak lama apabila Chelsea kembali melakukan serangan balas menerusi Eto'o yang membuka ruang buat Ramires merobek gawang tuan rumah.

''Kami bermain secara matang dan bijaksana. Saya rasa kami akan layak (pusingan kalah mati). Kemenangan hari ini penting buat kami,'' kata pengurus Chelsea, Jose Mourinho kepada Sky Sports.

Selepas perlawanan semalam, Chelsea dan Basel masing-masing memiliki tiga mata daripada dua perlawanan sementara Schalke 04 yang menang 1-0 di Basel menghuni tangga teratas berbekalkan enam mata.

Kemenangan itu juga melangsaikan dendam Blues yang tewas 0-1 kepada lawan yang sama pada aksi 16 akhir Liga Europa awal tahun ini.

''Kami memberi tekanan hebat kepada tuan rumah. Kami mengawal permainan dengan baik dan kami sepatutnya mendapat jaringan yang lebih banyak pada perlawanan semalam,'' tambah Mourinho.

Steaua yang juga juara Eropah pada tahun 1986 memiliki rekod cemerlang menentang kelab Inggeris di gelanggang sendiri dengan hanya kalah sekali daripada lapan pertemuan.

Dalam pada itu, Mourinho memberitahu, Torres tidak bersedia untuk beraksi bersama Sepanyol minggu depan gara-gara kecederaan lututnya.

Katanya, Torres perlu menjalani ujian imbasan walaupun pada anggapannya kecederaan itu tidak serius.

''Doktor-doktor kami (Chelsea) yakin kecederaan yang menimpa Torres tidak serius. Apa pun kami kena tunggu selepas ujian imbasan,'' ujar Mourinho. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan