MIAMI, Florida - Jose Mourinho berpeluang membuktikan penghijrahannya
ke Chelsea adalah tepat dan berbaloi apabila bertemu bekas kelabnya,
Real Madrid pada final Piala Juara Antarabangsa, awal pagi esok.
Walaupun perlawanan itu sekadar aksi pemanas badan menjelang musim
baharu, ia dilihat tetap penting buat pengendali dari Portugal itu dalam
menjawab persoalan, mengapa Real tidak begitu menyinar sepanjang eranya
sebagai jurulatih sebelum ini?
Malah perasaan kecewa tidak dihormati presiden, penyokong dan pemain
Real sendiri seperti Iker Casillas dan Cristiano Ronaldo, membuatkan
semangatnya membuak-buak untuk 'mengajar' bekas kelabnya itu.
"Madrid adalah politik. Madrid bukan tentang bola sepak atau tentang
sukan," kritik Mourinho Ahad lalu tentang mainan politik dalaman Real
sepanjang eranya.
Beliau turut menyerang imej Ronaldo dengan menyifatkan pemain itu
tidak sehebat mana. Ronaldo pula pantas membalas kenyataan Mourinho itu.
"Kami akan menentang Chelsea dan bukan pengurusnya. Walaupun ia sekadar persahabatan, kami tetap mahu menang.
"Saya tidak mahu meludah ke langit dan kemudian terkena ke muka
sendiri. Saya lebih suka melihat sisi positif Mourinho dan perlawanan
itu nanti," kata Ronaldo.
Berbekalkan pemain terbaik yang dimilikinya di Chelsea ketika ini,
Mourinho juga mahu menunjukkan kepada presiden Real, Florentino Perez
bahawa wang bukanlah segala-galanya untuk berjaya.
Buktinya Mourinho enggan berbelanja besar. Selepas gagal membawa
masuk Radamel Falcao dan Edinson Cavani, dia hanya dilihat berminat
dengan pemain lebih murah, Wayne Rooney. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan