Ahad, 15 September 2013

Mourinho merah padam



NAISMITH (kanan) muncul wira Everton apabila menjaringkan gol tunggal dan kemenangan perlawanan di penghujung babak pertama untuk mengejutkan Chelsea, kelmarin.


LIVERPOOL - Jose Mourinho memberi amaran kepada bintang-bintang Chelsea agar mempamerkan peningkatan selepas skuad The Blues itu tewas dalam aksi Liga Perdana England buat kali pertama sekembali menjadi pengurus.

Mourinho ternyata kecewa dengan kegagalan skuad kendaliannya selepas tewas kepada Everton 0-1 hasil jaringan Steven Naismith pada minit ke-45 ketika berkunjung ke Goodison Park.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Chelsea terlepas untuk menghuni puncak liga selepas aksi keempat musim ini.

Mengulas mengenai prestasi hambar itu, Mourinho berkata, beberapa kekurangan dalam skuad masih perlu diperbaiki jika Chelsea mahu mendakap trofi liga lagi.

Samuel Eto'o yang membuat penampilan pertama antara penyerang yang dipersalahkan apabila cubaannya untuk mencari gol pertama dihalang pemain baharu Everton, Gareth Barry yang melakukan terjahan.

"Pasukan tidak menjaringkan gol. Kami mempunyai peluang tetapi tidak melakukannya.

"Kita semua tahu perkara seperti ini akan berlaku pada setiap minggu jika pemain-pemain tidak menjaringkan gol. Jadi apa yang mereka lakukan tidak akan memberi apa-apa.

"Jika mereka (pemain-pemain) tidak mempunyai penyudah mereka harus mencarinya. Eto'o memiliki penyudah yang hebat dalam kariernya tetapi dengan situasi yang dihadapinya itu saya tetap gembira," kata Mourinho.

Mourinho enggan menyalahkan ketepatan sepakan Eto'o walaupun kegagalan bekas penyerang Barcelona itu untuk menjaringkan gol dikritik dan dikatakan sebagai punca kepada kekalahan Chelsea.

"Saya tidak rasa ia soal ketepatan dia menjaringkan gol. Hantaran yang dilakukan Andre Schurrle memberi masa kepada Barry untuk menghalang. Jika hantaran itu pantas, Eto'o mudah menjaringkannya.

"Mungkin pada satu hari nanti kami akan memiliki tiga peluang dan kami menjaringkan tiga gol. Kami telah melakukan 21 sepakan dan sembilan percubaan tepat ke arah pintu gol.

"Sebelum mereka menjaringkan gol, kami memiliki peluang yang mudah. Bukan itu sahaja tetapi Schurrle juga mendapat peluang untuk menjaringkan gol," jelas Mourinho. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan