SKUAD Harimau Malaya bermula langkah sumbang untuk aksi perlawanan
persahabatan pertama selepas tewas tipis 2-3 kepada kelab Australia,
Canberra FC di Stadium Deakin semalam.
Beraksi di babak pertama perlawanan, pasukan tuan rumah terlebih
dahulu membuka jaringan menerusi pemain Alex Oloriegbe pada minit ke-28.
Skuad kendalian Datuk K. Rajagobal kembali mengatur serangan namun
pasukan berstatus kelab divisyen dua Australia itu sekali lagi menghukum
kerapuhan benteng pertahanan skuad bola sepak negara dengan meledak gol
kedua menerusi Ryan Keir pada minit ke-34.
Bersambung separuh masa kedua, percaturan Rajagobal bertindak
mengeluarkan 10 pemain yang beraksi di babak pertama perlawanan dan
mengekalkan Mohd. Aidil Zafuan Adha Abd. Radzak, memasukkan Muhammad
Nazmi Faiz Mansor dan Safee Sali memberikan impak kepada corak permainan
Harimau Malaya.
Pemain tengah Selangor PKNS, Nazmi bijak memberikan hantaran kepada
bintang Johor Darul Takzim (Johor DT), Safee yang tidak bermasalah untuk
meledak gol pertama buat skuad negara pada minit ke-61.
Safee terus mempamerkan sentuhan cemerlang apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-83.
Ketika permainan dilihat berakhir keputusan seri, Harimau Malaya
dikejutkan apabila pasukan tuan rumah memperoleh kelebihan selepas
mendapat sepakan penalti pada masa kecederaan.
Philippe Bernabo memastikan kemenangan mutlak pasukan tuan rumah
dengan meledak gol kemenangan, sekali gus impian skuad negara untuk
melakarkan sekurang-kurangnya keputusan seri tidak kesampaian.
Harimau Malaya akan meneruskan siri perlawanan persahabatan menentang Sydney Olimpic pada Selasa ini.
Perlawanan terakhir skuad negara bertemu Sydney United, dua hari
selepas perlawanan tersebut untuk siri persahabatan dirancang oleh
Rajagobal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan