|
PEMERGIAN pelawak veteran Allahyarham S. Shamsudin semalam
benar-benar mengejutkan ramai pihak. Mana tidaknya, malam sebelum
Allahyarham meninggal dunia, ramai rakyat Malaysia yang tertawa sakan
kerana filem lakonannya Bujang Lapok disiarkan di televisyen.
Biarlah seribu kali diulang tayang filem yang sama, lawaknya tetap
menggeletek hati. Lakonannya dalam filem tersebut bersama dua lagi
sahabat seangkatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Aziz Sattar
benar-benar hidup.
Begitu juga dengan filem-filem lakonannya yang lain antaranya Seniman
Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul,
Nujum Pak Belalang dan Nasib Si Labu Labi, semuanya kekal malar segar
sehingga ke hari ini.
Kini, semuanya tinggal kenangan. Pemergiannya meninggalkan kesan di
hati setiap peminat yang tidak jemu menonton filem lakonannya.
Menurut rakan baiknya, Aziz Sattar atau Pak Aziz, Allahyarham yang
mesra disapa dengan nama panggilan Sudin seorang yang cukup merendah
diri dan disenangi ramai.
“Kami bertiga agak rapat ketika sama-sama berlakon di studio Jalan
Ampas, Singapura. Ini kerana pada waktu itu pelakon semuanya diberikan
rumah yang berdekatan antara satu sama lain.
“Jadi, habis kerja kami sering menghabiskan masa bersama-sama. Saya
masih rindu untuk kembali ke zaman P. Ramlee mengarah dan berlakon filem
bersama saya dan Sudin.
“Waktu itu sungguh seronok. Tidak sangka gandingan kami bertiga
menjadi dan cukup serasi. Sudin suka membuat lawak secara spontan yang
tidak ada dalam skrip. Itu adalah kelebihannya,” kata Aziz Satar
mengenang kembali zaman kegemilangan lakon Allahyarham.
Apabila disoal tentang pemergian rakan baiknya itu, suara Pak Aziz di hujung corong kedengaran sebak.
“Saya sungguh terkejut mendapat berita pemergiannya pada pagi ini
(semalam). Agak ralat kerana tidak dapat bertemu dengannya sebelum Sudin
meninggal dunia.
“Kali terakhir saya bertemu dengannya pada awal tahun ini. Itu pun Sudin sudah uzur kerana penyakit paru-paru yang dihidapinya.
“Sekarang ini tinggal saya seorang sahaja, selepas dua sahabat baik
saya, Sudin dan P. Ramlee meninggal dunia. Kenangan bekerja bersama
ketika muda tidak akan saya lupakan buat selamanya. Mereka merupakan
bintang yang sebenar,” tuturnya yang segera ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Subang, Selangor untuk ke Singapura sebaik mendapat berita
menyedihkan itu.
S. Shamsudin atau nama sebenarnya Sahamsudin Dali dilahirkan di Pasir
Panjang, Singapura. Sebelum bergelar seorang pelawak terkenal,
Allahyarham bekerja sebagai buruh untuk membantu keluarga.
Namun, tuah menyebelahinya ketika Allahyarham melawat studio Jalan Ampas untuk melihat sendiri pembikinan sebuah filem.
Allahyarham telah diberi peluang untuk menjadi pelakon tambahan dalam filem Chempaka yang diarahkan oleh B. S. Rajhans.
Seterusnya Allahyarham mendapat kerja sebagai tukang kayu di set
studio filem dan pada masa yang sama bekerja sebagai pelakon tambahan.
Berlakon dan melakukan kerja produksi merupakan sesuatu yang normal
waktu itu untuk menambah pendapatan.
Filem pertama yang memerlukannya melontarkan banyak dialog adalah
filem Aloha. Disebabkan bakat lakonan yang ada dalam dirinya, kemudian
Allahyarham telah diambil sebagai pelakon tetap bagi filem Melayu
bersama Aziz Sattar.
Bintangnya semakin bersinar apabila Allahyarham bergandingan bersama
P. Ramlee dan Aziz Sattar. Mereka bertiga merupakan bintang terkenal era
50-an dan awal 60-an.
Allahyarham bertemu jodoh dengan Puteh Esmoon pada tahun 1954 dan
dikurniakan tujuh orang anak. Salah seorang anaknya Ariff Shamsudin juga
merupakan seorang pelawak di Singapura.
Selepas melalui zaman kegemilangan dan hidup dalam keadaan harmoni
bersama keluarganya, pada usia 84 tahun Allahyarham menghembuskan nafas
terakhirnya di National University Hospital, Singapura pada 10.43 pagi
akibat sakit tua dan paru-paru berair.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lim Chu Kang, Singapura pada pukul 10 pagi hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan