![]()
ALYAH tidak pernah sepi dengan
kontroversi, namun sepanjang Ramadan lalu, dia banyak bermuhasabah diri
dan Syawal ini, dia lebih bersikap menelan semuanya dengan baik.
|
ANGIN panas menggebu lalu menghempas kerjaya seni Alyah, awan hitam
berarak laju mengelilingi setiap ruang peribadi pelantun lagu Kisah Hati
itu.
Bulan Ramadan tahun ini benar-benar menguji pemilik nama Noor Hasliah
Abu Hasan dan dia tidak pantas berserah pada keadaan untuk membetulkan
kesilapan.
Benar, bukan mudah untuk Alyah berdepan dengan permainan tanda tanya
soal jodoh dan status diri ditokok isu cuba memboikot media dan
terbaharu menguruskan ibunya yang kurang sihat.
"Ramadan tahun ini paling mencabar dalam hidup saya, selain sibuk
menjaga ibu saya sakit dan kerja berlari ke sana sini, saya jadi takut
dan terasa berada di tengah-tengah.
"Tambahan pula dengan pelbagai cerita kurang enak mengenai saya
berkahwin senyap-senyap dan cuba memboikot media, membuatkan saya hampir
berputus asa," luahnya menghela nafas panjang.
Malah, sempena penghujung Ramadan yang ditinggalkan beberapa hari
lalu, Alyah melihat ujian yang diledaninya berisi hikmah yang mendalam -
rupa-rupanya masih ada yang sayang.
"Sudah banyak kalau hendak dikira kontroversi yang terjadi dalam
kerjaya seni, tapi sudut pandangan saya perlu sentiasa berfikiran
positif.
"Orang ramai masih ambil berat akan diri saya dan masih ada yang
menyayangi saya. Berhubung perkara berkahwin, saya tidak pernah
menyatakan ya atau tidak kerana saya tidak akan bercakap selagi sesuatu
perkara itu belum pasti.
"Saya tidak mahu telan balik perkataan yang sudah saya cakap, saya
bukan jenis orang yang takbur, jadi lebih baik saya menunggu perkara
yang sudah terjadi ke depan, maka baru saya cakap.
"Dari dulu lagi saya takut apabila orang terlalu mahu ambil tahu akan
peribadi saya, perkara akan jadi lain tapi kalau sudah sampai masa,
saya tiada masalah untuk berkongsi dengan sesiapa cuma sekarang saya
harap setiap orang faham situasi saya," jelasnya yang enggan membebankan
fikiran ibunya berhubung teka-teki perkahwinannya.
![]()
ALYAH pulang ke Gelang Patah, Johor Bahru untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
|
Teka-teki
Adakalanya Alyah mengakui dia malu apabila sering disogok gosip
berkaitan jodoh. Hal itu secara tidak langsung menampakkan dia seperti
tidak laku walau kini sudah popular.
Tipu kata Alyah apabila perkara tersebut tidak membuatkan dia penat
atau rimas. Cuma bagi penyanyi kelahiran Gelang Patah, Johor itu,
kecintaannya cuma pada sahabat karib dan kerjaya seni.
"Saya jenis orang yang habis kerja balik ke rumah, malah individu
yang saya jumpa setiap hari adalah kawan-kawan yang menguruskan kerjaya
saya.
"Tiada apa yang boleh saya buat. Itu harga yang perlu saya bayar.
Selagi boleh jawab, saya akan jawab. Bukannya mahu bermain teka-teki,"
tambahnya yang bakal mengadakan sebuah sidang akhbar menjelaskan situasi
genting itu selepas sambutan Aidilfitri.
Nostalgia
Beraya tanpa arwah bapanya sejak lebih 13 tahun lalu mengimbau
kenangan luar biasa bagi Alyah. Kongsinya, kenangan terakhir beraya
bersama dan mendengar nasihat daripada individu yang digeruninya masih
melekat sehingga sekarang.
"Saya seorang anak yang tidak sebulu dengan arwah bapa. Kebetulan,
pada hari raya emak keluar bersama adik-beradik saya yang lain dan
meninggalkan kami berdua di rumah.
"Bapa nasihatkan saya. Katanya saya sendiri yang akan mencorakkan kehidupan dan saya perlu menjaga emak saya.
"Seminggu kemudian saya ke Kuala Lumpur untuk uji bakat Bintang
Hiburan Minggu Ini (HMI) dan sejurus kemudian saya mendapat berita bapa
meninggal.
"Lebih pilu apabila saya pulang ke kampung, saya tidak sempat melihat
wajahnya kali terakhir, cuma pesanannya yang terakhir itu yang dapat
saya ingat sampai sekarang," ceritanya sayu.
Alyah memberitahu, dia mengambil kesempatan cuti Hari Raya Aidilfitri
untuk menziarahi rumah saudara-mara di sekitar Johor dan Pahang.
Kesempatan itu juga diluangkan Alyah untuk berjumpa kembali dengan 11
orang adik-beradiknya lain. Itu juga nikmat raya tidak terhingga bagi
Alyah.
"Apabila meningkat usia, hadiah paling bernilai pada Aidilfitri
adalah berkumpul dengan adik-beradik. Kenangan ketika kecil duduk
bersama menonton televisyen boleh dibawa kembali ketika beraya.
"Sekarang semua sudah berkahwin dan masing-masing sibuk bekerja,
pastinya ini juga hadiah paling berharga bagi setiap insan bergelar
ibu," simpul Alyah yang terlibat dengan program Dikir Raya TV3,
Stailista TV9, Meriahnya Raya (TV2) dan Raya Sama Sama (TV1) .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan