![]() |
JOHAN dan isterinya, Ozlyn pernah menyambut Aidilfitri di Australia dan Hong Kong.
|
APABILA tibanya bulan Syawal, pulang ke kampung halaman sudah menjadi
satu tradisi yang diamalkan sejak sekian lama oleh umat Islam di
negara ini.
Bagaimanapun, berlainan pula dengan pelawak dan penyampai radio
popular, Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz atau lebih popular dengan
panggilan Johan ketika meraikan hari raya.
Semasa ditemui pada rakaman program Melodi Raya di Kuala Lumpur
baru-baru ini, Johan memberitahu, setiap tahun dia sekeluarga
menyambut Aidilfitri di luar negara.
“Pada tahun lepas saya bawa isteri dan anak-anak pergi melancong ke
Australia semasa Aidilfitri. Dua tahun lepas pula, kami sekeluarga
bercuti di Hong Kong.
“Jadi, pada tahun ini setelah berbincang bersama isteri, kami
sepakat untuk beraya di Jepun pula. Cuma tarikh yang masih belum
ditetapkan lagi,” ujarnya
Ketika ditanya antara sebab dia mengambil keputusan untuk berada di
luar negara setiap kali hari raya, Johan menjelaskan, hanya pada waktu
tersebut dia dapat mengambil cuti yang agak panjang.
Ujarnya, jika pada hari-hari biasa jadual hariannya terlalu padat
dengan aktiviti seni sehingga dia tidak dapat meluangkan masa yang
banyak bersama keluarga.
Propaganza
“Kalau melihat kepada jadual harian saya sepanjang tahun, boleh dikatakan saya sentiasa sibuk.
“Kerjaya saya kini bukan sekadar berlakon, tetapi saya turut bertugas sebagai penyampai radio.
“Saya akui masa untuk bersama isteri dan anak-anak agak terhad dan
pada hari raya sahaja saya dapat bercuti panjang dan membawa keluarga
pergi bercuti,” jelasnya yang akan bercuti selama 12 hari.
Bercerita tentang aktiviti seninya sepanjang bulan Ramadan lalu,
pelawak yang dicungkil bakatnya menerusi program Raja Lawak Astro musim
pertama itu memberitahu, dia tidak terbabit dengan sebarang
penggambaran.
Menurut Johan, aktiviti hariannya ketika bulan puasa lebih banyak
dipenuhi dengan acara berbuka puasa bersama anak-anak yatim, menghadiri
majlis hiburan yang dianjurkan serta solat tarawih.
“Apabila sepanjang tahun saya sibuk dengan aktiviti seni, saya
mengambil keputusan untuk mengurangkannya pada bulan puasa dan memberi
tumpuan kepada tugas sebagai penyampai radio sahaja,” ujarnya yang sudah
bertugas bersama stesen radio Era FM sejak 2011.
Bercerita tentang aktiviti seninya selepas bercuti sempena sambutan
Aidilfitri, ujar Johan, jadual hariannya akan kembali padat kerana
terlibat dengan pelbagai program.
Menariknya, Johan mendedahkan bahawa berkemungkinan besar dia bakal
menjadi pengacara program berbentuk hiburan iaitu Propaganza bagi musim
yang terbaharu.
“Sudah tentu peluang untuk mengacarakan program ini tidak harus
dilepaskan sama sekali, malah saya begitu menghargai peluang yang telah
diberikan ini.
“Selain terbabit sebagai pengacara Propaganza, saya akan kembali
berlakon dalam drama bersiri Elly Dan Epit serta menyertai program Super
Spontan musim baharu,” ujarnya.
Jelasnya, dia juga bakal membintangi sebuah filem baharu dalam tempoh terdekat ini terbitan KRU Studios.
Bagaimanapun, Johan tidak mahu mendedahkan butiran lanjut mengenai filem berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan