WALAUPUN mengakui sukar mengekalkan Bale, Villas-Boas mahu Real Madrid lebih profesional dalam berurusan.  
 | 
LONDON - Pengurus Tottenham Hotspur, Andre Villas-Boas menegaskan 
bahawa pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti tidak sepatutnya 
mendedahkan kepada umum tentang hasrat mereka ingin memiliki pemain 
tengah, Gareth Bale.
Pengurus Real itu menyatakan perkara tersebut secara terbuka kepada 
media selepas sesi latihan pasukan itu di Los Angeles pada Rabu lalu.
Menurut Ancelotti, Real kini serius membuat rundingan dengan Spurs 
bagi membawa bintang tengah Wales itu ke Madrid dengan bayaran yuran 
perpindahan rekod dunia.
"Pada pandangan saya apa yang dilakukan oleh beliau (Ancelotti) itu 
salah. Carlo merupakan seorang individu yang disegani serta dihormati. 
Dia tidak sepatutnya bercakap perkara yang sensitif itu secara terbuka.
"Kebiasaannya dalam situasi seperti itu, ia banyak diberi perhatian 
oleh Persatuan Bola Sepak (FA). Kami telah mengalami situasi seumpama 
itu banyak kali namun kami mempunyai perasaan hormat antara satu dengan 
lain dengan pihak yang terlibat," jelas Villas-Boas.
Kata pengurus berasal dari Portugal itu lagi, mereka sudah beberapa 
kali menjelaskan bahawa Bale tidak akan dijual dan mereka sepatutnya 
menghormati pendirian Spurs itu.
Villas-Boas menyatakan sedemikian dalam satu sidang akhbar selepas 
pasukannya tewas 2-5 kepada Monaco dalam satu aksi persahabatan di sini 
yang turut menyaksikan Bale, 24, tidak bermain akibat kecederaan.
"Gareth merupakan pemain yang sangat saya kagumi. Saya berbincang 
secara baik dengan Real kerana musim lalu kami telah mencapai 
persetujuan bagi menjual Luka Modric kepada mereka.
"Selain itu, kami juga ingin membina pasukan mantap pada musim ini. 
Kami juga mempunyai perancangan jangka panjang bersama Gareth. Tetapi, 
kami sedar dalam dunia bola sepak tiada yang mustahil," kata Villas-Boas
 lagi.
Sementara itu, media di Sepanyol dan England melaporkan bahawa Real 
bersedia memecahkan rekod dunia bagi membawa Bale ke Madrid dengan yuran
 perpindahan lebih daripada £85 juta (RM423.1 juta). - Reuters
Kosmo 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan