CHONG WEI menjalani latihan di 
Gimnasium Tertutup Tianhe, Guangzhou semalam sebagai persiapan 
menghadapi Kejohanan Badminton Dunia 2013 yang bermula hari ini. 
 | 
JAGUH No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki, Koo Kien 
Keat-Tan Boon Heong mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Badminton 
Dunia 2013 yang akan membuka tirai hari ini.
Ketiga-tiga pemain itu sudah pasti memiliki misi tersendiri untuk 
menjulang trofi kejuaraan buat kali pertama pada kejohanan edisi ke-20 
di Guangzhou, China.
Begitupun, apa yang menjadi persoalan ketika ini adakah mereka mampu 
menyerap setiap tekanan, baik di dalam mahupun di luar gelanggang.
Ini kerana mereka bukan sahaja perlu berdepan dengan barisan pemain 
China yang dijangka ‘bermaharajalela’ di laman sendiri, malah Chong Wei,
 30, Kien Keat, 27, dan Boon Heong, 25, perlu mengatasi sorakan padu 
daripada penyokong tempatan.
Bagaimanapun, melihat kepada undian, jurulatih perseorangan negara, 
Tey Seu Bock mengakui peluang Chong Wei, pemenang pingat perak Sukan 
Olimpik 2012 untuk memburu gelaran dunia kali pertama masih terbuka.
“Atas kertas, peluangnya kali ini nampak lebih baik. Peluang untuk 
menang ada tetapi ia juga bergantung kepada prestasi Chong Wei pada hari
 perlawanan.
“Bagi saya, pusingan pertama amat penting bagi semua pemain terbaik 
dunia kerana ia permulaan untuk mencari rentak permainan,” kata Seu 
Bock.
Chong Wei akan menghadapi Scott Evans dari Ireland pada aksi pertama kejohanan hari ini.
Dia yang diramal mudah melepasi ujian pertama itu dijangka berdepan 
pemain Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka atau Misha Zilberman (Israel) 
pada pusingan kedua.
Chong Wei juga diundi dalam kelompok dua pemain China, Wang Zhengming dan Du Pengyu dalam laluannya untuk mara ke separuh akhir.
“Pemain-pemain China mempunyai kelebihan kerana kejohanan dunia 
berlangsung di sana. Kita memang tidak tahu keadaan mereka dan mereka 
juga melakukan persiapan yang baik.
“Begitupun, kami juga akan menganalisis setiap pencabar sebelum 
perlawanan berlangsung. Kalau boleh kami mahu Chong Wei elak daripada 
perlawanan rubber set kerana dia sudah 30 tahun dan tahap fizikalnya 
sudah tidak seperti dulu.
“Beraksi dengan pemain-pemain muda... mereka juga mampu melakukan 
kejutan jadi saya harap Chong Wei tidak akan melakukan kesilapan dan 
perlu sentiasa berwaspada,” tambah Seu Bock.
Dua lagi pemain perseorangan negara yang akan beraksi pada hari ini ialah Chong Wei Feng dan Liew Daren.
Wei Feng akan bertemu Rajiv Ouseph dari England manakala Daren menentang Vladimir Malkov (Rusia).
Dalam pada itu, Kien Keat-Boon Heong juga dilihat memiliki undian 
yang baik untuk melangkah ke final untuk kali kedua dalam karier mereka 
selepas edisi 2010 di Paris, Perancis.
Begitupun, pasangan No. 2 dunia itu tidak boleh memandang rendah 
terhadap kemampuan beregu-beregu yang mempunyai azam yang sama untuk 
memburu gelaran dunia tahun ini.
Selain memburu kejuaraan pertama, Kien Keat-Boon Heong yang mendapat 
bye pada pusingan pertama juga memiliki misi kedua - untuk meraih 
kembali kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bekas beregu No. 1 dunia itu harus sekurang-kurangnya melangkah ke 
pentas final pada kejohanan kali ini atau mereka bakal berdepan dengan 
tindakan dipisahkan oleh BAM.
Bagaimanapun, peminat sukan tanah air juga mengharapkan keputusan 
yang positif bakal dijelmakan oleh dua lagi beregu negara, Hoon Thien 
How-Tan Wee Kiong dan Goh V Shem-Lim Khim Wah walaupun mereka dijangka 
berentap sesama sendiri pada pusingan kedua.
Thien How-Wee Kiong mendapat bye pada pusingan pertama, namun V 
Shem-Khim Wah harus menewaskan pasangan Scotland, Martin 
Campbell-Patrick Machugh sebelum berpeluang mara ke pusingan kedua.
Malaysia turut menyandarkan harapan kepada gandingan, Mohd. Zakry 
Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari pada acara berprestij itu.
Bagi kategori wanita, Malaysia tidak boleh terlalu memandang jauh 
bersandarkan kepada prestasi dan rekod pemain-pemain yang ada ketika 
ini.
Dalam acara perseorangan, Malaysia menyandarkan harapan kepada wakil 
tunggal, Tee Jing Yi manakala bagi saingan beregu wanita, empat 
gandingan menjadi pertaruhan.
Bagi acara beregu campuran, harapan sudah pasti dletakkan kepada 
gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang diharapkan mampu melakar 
kejutan di bumi Guangzhou.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan