
PARA peminat Bruce Lee berkumpul di hadapan patung mendiang bagi meraikan ulang tahun ke-40 kematiannya di Hong Kong.
DIJULANG sebagai hero seni bela diri pertama layar perak dan
penghubung budaya antara Timur dan Barat, Bruce Lee tanpa disedari telah
membantu industri hiburan Hong Kong berada pada tahap hari ini.
Namun, mengapa sesetengah pihak di bandar itu meraikan ulang tahun ke-40 kematiannya di dalam tandas?
"Pada tahun 1958, Bruce Lee merupakan pelajar di Kolej St. Francis
Xavier. Pada suatu hari, dia telah ditangkap kerana bergaduh di dalam
tandas oleh seorang paderi.
"Namun, paderi itu merupakan seorang petinju di negara asalnya.
Justeru, dia tidak menghukum Lee sebaliknya menjemput beliau untuk
menyertai kelas tinju. Lee kemudian menyertai kelas itu dan muncul juara
dalam pertandingan antara sekolah," jelas Pengerusi Kelab Bruce Lee,
Wong Yiu-keung.
Insiden itu begitu bermakna kepada Lee yang meninggal dunia pada usia
32 tahun akibat penyakit bengkak otak sekali gus ingin menunjukkan
kecintaannya terhadap seni bela diri.
Tidak lama kemudian, Lee membuka sekolah bela diri di Amerika Syarikat iaitu tempat kelahirannya.
Baru-baru ini, peminat bintang filem legenda itu berpeluang melawat
sekolah Lee di Hong Kong. Sekolah itu termasuk salah satu daripada
beberapa bahan pameran mengenai Lee yang pernah menjalani zaman
kanak-kanak di negara bekas koloni British itu.
Selain itu, pengunjung juga boleh melihat patung Lee di siar kaki
Avenue of the Stars dan di Kelab Bruce Lee, kedua-duanya terletak di
kawasan kejiranan Tsim Tsui di selatan Hong Kong. Ia ditujukan khas buat
legenda layar perak itu.
Sut kuning
Peminat juga berpeluang pergi ke biara di New Territories yang akan menayangkan filem terkenalnya, Enter the Dragon.
Pameran yang akan berlangsung selama lima tahun di Muzium Warisan
Hong Kong itu memaparkan memori Lee sepanjang hidupnya. Ini termasuklah
filem-filem yang pernah dibintanginya serta sut kuning yang menjadi
trademark Lee. Pameran itu dirasmikan oleh anak perempuannya, Shannon
Lee pada hujung Julai lalu.
"Saya mengenali ayah bukan melalui media, tetapi melalui pelbagai
cara dan sumber. Ia diambil melalui orang yang betul-betul mengenalinya,
rakan-rakannya dan keluarga saya. Ada juga melalui perkataan mendiang
sendiri kerana ayah terlalu banyak menulis.
"Saya memiliki beribu buku di perpustakaannya. Dia menulis kesemua
mengenai dirinya di dalam nota, jadi saya mengenalinya melalui
catatannya sendiri," kata Shannon yang baru berusia empat tahun ketika
bapanya meninggal dunia.
Beberapa buku catatan, puisi dan gambar keluarga merupakan antara 600
barangan yang dipamerkan di muzium itu sehingga tahun 2018.
Ikon pada kurun ke-20 yang menemukan Jeet Kune Do, Lee pergi sebelum
masanya pada tahun 1973 sekali gus mengejutkan jutaan peminatnya di
serata dunia.
"Saya masih ingat upacara pengkebumian perdana di Hong Kong kerana ia
terlalu kecoh. Terlalu ramai manusia. Ia panas, lembap dan kadangkala
seperti badai. Terlalu banyak yang berlaku dan kesedihan.
"Sebagai kanak-kanak, saya masih ingat bagaimana ia mengheret saya
untuk melalui kesemua proses tersebut dan merasakan seolah-olah
kekacauan berlaku di sekeliling saya," ungkap Shannon lagi.
Apa yang pasti, legasi Lee terus hidup untuk memberi inspirasi kepada
generasi pelakon baharu seperti Jackie Chan dan memecahkan sekatan
untuk pelakon Asia mengembangkan bakat di Hollywood.
"Dia mendapat kemahsyuran menerusi kung fu yang mana tidak memerlukan
bahasa untuk memperjelaskannya. Sama seperti tarian dan muzik. Anda
boleh menontonya tanpa mengambil kira siapa anda. Seperti filem senyap
Charlie Chaplin yang melangkaui sempadan.
"Bruce Lee juga menjadi penghubung antara budaya Timur dan Barat. Dia
menimba ilmu di Hong Kong dan Amerika Syarikat. Dia muncul di
televisyen Amerika dan juga teater China," kata penulis biografi Bruce
Lee, Roger Lo.
Pesona layar perak
Menurut pengarang buku biografi The Bruce Lee They Knew yang baru
diterbitkan, Chaplin Chang, kehidupan sebenar Lee kebanyakannya
dihabiskan dengan menjadi pesona layar perak.
"Orang boleh memberinya status yang pelbagai tetapi dia hanya manusia biasa."
Dalam buku biografi berbahasa Cina itu, Chang cuba memotretkan hero
aksi itu dari perspektif lama kepada menonjolkan kesusahan Lee pada masa
itu, namun bersikap mesra dengan rakan-rakannya.
"Dia bukan sahaja mengenai filem tetapi ia berkaitan seni
mempertahankan diri. Legasinya terus hidup bersama falsafahnya untuk
beberapa generasi. Oleh sebab itu, dia diminati ramai hingga sekarang,"
tutur Chang. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan