
CHONG WEI (duduk) menerima rawatan selepas mengalami kekejangan kaki pada aksi menentang Lin Dan semalam.
PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi kempunan untuk
menjadi juara dunia selepas tewas kepada bintang China, Lin Dan pada
perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia 2013 semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Tianhe, Guangzhou itu, Chong
Wei terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan ketika
ketinggalan 17-20 pada set ketiga berikutan mengalami kekejangan pada
kedua-dua kakinya.
Pada set pertama, Chong Wei menang 21-16 namun tumpas di set kedua 13-21.
Chong Wei terpaksa dikejarkan ke hospital berdekatan dan beliau dilaporkan sudah pulih.
Kekecewaan itu adalah yang kedua berturut-turut bagi Chong Wei
selepas tumpas kepada pemain tersohor China itu di Arena Wembley, London
dua tahun lepas.
Pada set pertama, Chong Wei mempamerkan aksi kemas bagi memerangkap
Lin Dan untuk menangi perlawanan 21-16 biarpun pada awal permainan
beliau ketinggalan.
Namun, pada set kedua semuanya bagai tidak menjadi bagi pemain negara
itu apabila mudah memberi mata kepada lawannya apabila tujuh kali
jangkaan beliau bahawa bulu tangkis keluar sebenarnya masuk untuk tewas
13-21.
Lebih mengecewakan, pada set tersebut, penghawa dingin di gelanggang
tersebut mula tidak berfungsi dan keadaan itu dilihat tidak memberi
keselesaan kepada Chong Wei.
Pada set penentuan, Chong Wei tidak berputus asa dan memberi
tentangan sehinggalah pada kedudukan beliau ketinggalan 16-19, beliau
mula mengalami kekejangan sebelum mendapatkan rawatan.
Tetapi, keadaan itu tidak bertahan lama apabila pada kedudukan 17-20,
Chong Wei terpaksa menarik diri kerana tidak mampu berdiri untuk
memberi kemenangan kepada Lin Dan.
Kemenangan ke atas Chong Wei itu adalah gelaran dunia kelima bagi Lin
Dan, yang menyertai kejohanan berprestij itu di atas tiket 'wildcard'
selepas lebih setahun tidak beraksi dalam kejohanan utama Persekutuan
Badminton Dunia (BWF).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan