![]()
AKSI Chong Wei pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Gimnasium Tertutup Tianhe, Guangzhou semalam.
|
SEPERTI dijangka, jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei melepasi pusingan
pertama Kejohanan Badminton Dunia 2013 apabila membenam pemain Ireland,
Scott Evans di Gimnasium Tertutup Tianhe, Guangzhou semalam.
Chong Wei yang juga pilihan utama kejohanan, mengenepikan Evans dalam pertarungan dua set 21-11, 21-15.
“Memang biasa (pada setiap kejohanan), pada pusingan pertama kita belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran gelanggang.
“Sejak tiba di sini (pada Sabtu lepas), ini kali ketiga saya turun ke gelanggang (termasuk dua hari latihan).
“Saya harap dapat menyesuaikan diri dengan gelanggang pada pusingan
seterusnya. Namun, ia bukan satu masalah besar kepada saya,” kata Chong
Wei semalam.
Pada pusingan kedua esok, Chong Wei akan berdepan dengan pemain
Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka yang menewaskan pemain Israel, Misha
Zilberman 21-15 23-21.
Mengenai pertemuannya dengan Hayom, Chong Wei berkata, dia akan lebih
fokus kerana pemain muda Indonesia itu telah mempamerkan aksi yang baik
sebelum tewas kepadanya di peringkat separuh akhir Terbuka Indonesia,
Jun lalu.
“Dia (Hayom), bermain dengan corak permainan menyerang dan memberi
tentangan hebat kepada saya pada Terbuka Indonesia. Saya harap dapat
tunjukkan permainan yang baik pada Rabu ini untuk mara ke pusingan
seterusnya.
“Banyak pihak berpendapat, ini peluang terbaik saya untuk meraih
gelaran dunia. Saya harap peluang ini tidak hilang (dipersia-siakan).
“Ramai rakan-rakan saya dari Malaysia juga akan datang ke Guangzhou
dan saya akan pamerkan aksi yang terbaik kerana saya memang mahukan
kejuaraan ini,” katanya.
Sementara itu, perseorangan lelaki muda negara, Chong Wei Feng turut
mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain England, Rajiv Ouseph
21-11, 21-15.
“Pada set pertama, saya sedikit gementar kerana ini kali pertama
beraksi pada Kejohanan Dunia. Selepas itu, saya berjaya mengawal keadaan
dan saya harap dapat mengekalkannya pada perlawanan seterusnya
(pusingan kedua).
“Selepas diberi kepercayaan (beraksi) pada kejohanan ini, saya mahu
buktikan sesuatu. Saya akan cuba melakukan yang terbaik,” kata Wei Feng.
Seorang lagi pemain muda perseorangan lelaki negara, Liew Daren
terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan pemain Rusia, Vladimir Malkov
21-18 20-22 21-9.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan