Ahad, 4 Ogos 2013

Liverpool gandakan harga Suarez



SUAREZ (kanan) tetap diturunkan Liverpool sebagai pemain gantian dalam satu perlawanan persahabatan kelmarin walaupun mahu meninggalkan kelab itu.


LONDON - Luiz Suarez hanya akan dijual dengan harga yang tinggi.
Itu amaran Brendan Rodgers terhadap Arsenal yang bersungguh-sungguh memburu penyerang kontroversi itu musim ini.

Pengendali The Reds itu berkata, jumlah £100 juta (RM497.3 juta) yang sanggup dikeluarkan Real Madrid bagi mendapatkan Gareth Bale wajar dijadikan rujukan buat Arsenal jika mereka berhasrat melamar Suarez.

Ini kerana menurut beliau, Suarez juga sehebat Bale dan tidak akan dijual dengan harga yang lebih murah.

"Setiap pemain terhebat di dunia memiliki nilai mereka tersendiri.

"Bagi saya, nilai Suarez menyamai nilai Bale kerana kedua-duanya pemain yang hebat dalam saingan Liga Perdana England musim lalu.

"Jika mahu mendapatkan Suarez, harganya mesti berpatutan," kata Rodgers.

Sebelum ini, kedua-dua tawaran pengendali Arsenal, Arsene Wenger bagi mendapatkan Suarez telah ditolak Liverpool.

Usaha Wenger menebus klausa pelepasan kontrak Suarez bernilai £41 juta (RM203.9 juta) juga ditolak.

Bagaimanapun, Rodgers mengakui sukar menghalang pemergian Suarez sekiranya penyerang itu sendiri mahu meninggalkan Anfield.

"Sudah tentu saya hanya mahukan pemain yang benar-benar komited bersama kami.
"Saya telah memberitahu Suarez sebelum ini bahawa dia memerlukan masa memahami perasaan kelab dan peminat.

"Liverpool merupakan antara kelab terbaik di dunia, jadi dia tidak perlu tergesa-gesa meninggalkan kami," kata Rodgers.

Pada masa sama, Rodgers juga menegaskan ketibaan penyerang baharu dari Atletico Madrid, Diego Costa bukan bermakna mereka sudah bersedia melepaskan Suarez. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan