Ahad, 4 Ogos 2013

Semangat ATM berkobar-kobar




SELEPAS hanya mampu menduduki tangga keenam dalam saingan Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berazam menjulang Piala Malaysia musim ini.

Semangat ATM untuk mengucup Piala Malaysia semakin berkobar-kobar selepas skuad The Gladiators itu terlepas peluang muncul juara apabila tewas 2-3 kepada Kelantan pada aksi final di Stadium Shah Alam musim lalu.

Ibarat tampil dengan misi 'serampang dua mata', ATM kini mencongak peluang terbaik mereka untuk bergelar juara, sekali gus menebus dua kekecewaan tersebut.

Menurut pengendali ATM, B. Sathianathan (gambar), sasaran memburu Piala Malaysia tidak mustahil untuk direalisasikan selepas anak-anak buahnya bebas daripada masalah kecederaan.
"Selepas sekadar memenangi Piala Sumbangsih pada awal musim ini, kami kini tiada pilihan selain perlu memenangi Piala Malaysia sebagai hadiah kepada pihak pengurusan serta penyokong ATM.
"Dalam saingan Liga Super, kami pada awalnya selesa berada dalam kelompok tiga teratas tetapi prestasi kami mula merudum pada penghujung musim.

"Situasi itu berpunca daripada masalah kecederaan pemain-pemain utama dan ia sangat mengecewakan saya," kata Sathianathan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sathianathan berkata, beliau turut berpuas hati dengan pengundian Piala Malaysia kali ini apabila ATM diletakkan dalam Kumpulan A bersama naib juara Liga Super, Selangor selain Sime Darby serta Johor.
Sebelum mencongak langkah lebih jauh, Sathianathan berkata, The Gladiators harus terlebih dahulu 'melangsaikan' aksi peringkat kumpulan sebelum menghidu slot suku akhir, separuh akhir mahupun final.

"Jika diberi pilihan, sudah pasti saya memilih untuk menentang Kelantan pada aksi final sekali lagi.
"Ini kerana musim lalu kami begitu hampir untuk mendakap Piala Malaysia tetapi dikecewakan dengan jaringan pada masa tambahan oleh (penyerang Kelantan) Indra (Putra Mahayuddin).

"Sejak saya membimbing pasukan, setiap musim saya layak ke final (Piala Malaysia). Pada 2009 dan 2010, saya bersama Kelantan.

"Namun, pada 2011 saya telah digantung dan tidak membimbing mana-mana pasukan sebelum saya membimbing Kelantan mara ke final musim lalu.

"Jadi saya berharap tuah akan sekali lagi memihak kepada saya untuk beraksi pada final Piala Malaysia musim ini," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan