Rabu, 12 Jun 2013

Argentina hampir pasti ke Brazil


BUENOS AIRES - Argentina semakin hampir untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Ecuador pada aksi kelayakan kelmarin.
"Kami beraksi di kawasan altitud tinggi dan itu bukan sesuatu yang mudah," kata jurulatih Argentina, Alejandro Sabella.

Pada perlawanan tersebut, penyerang Manchester City, Sergio Aguero meletakkan Argentina di depan pada minit kedua hasil satu sepakan penalti selepas penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez menjatuhkan Rodrigo Palacio dalam kotak penalti.

Selepas itu, Alejandro Castillo berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-16.
Bintang Barcelona, Lionel Messi yang baharu pulih daripada kecederaan hamstring, dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-60 untuk menggantikan Aguero.

Namun, rakan sepasukan Messi di Bercelona, Javier Mascherano diarah keluar padang pada penghujung perlawanan selepas bertindak menendang pegawai stadium.

"Kami memang mahukan kemenangan, tetapi keputusan seri itu sudah memadai," kata Aguero.
Sementara itu, Colombia menewaskan Peru 2-0 hasil jaringan penyerang sensasi, Radamel Falcao pada minit ke-12 menerusi satu sepakan penalti dan Teofilo Gutierrez (ke-46).

Argentina muncul pendahulu Zon Amerika Selatan selepas mengumpul 26 mata sepanjang 13 perlawanan manakala Colombia kedua (23 mata) dan Ecuador (21 mata).

Chile pula di tangga keempat selepas mengumpul 21 mata.
Bagaimanapun, Uruguay yang kurang satu perlawanan. bergelut untuk melayakkan diri ke Brazil selepas berkongsi 16 mata dengan Venezuela, diikuti Peru (14 mata) .

Sementara itu, Bolivia (10 mata) dan Paraguay (8 mata) mengharapkan keajaiban untuk layak ke kejohanan paling berprestij di dunia itu. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan