Rabu, 12 Jun 2013

Del Bosque masih berteka-teki



CASILLAS beraksi cemerlang ketika membantu Sepanyol menewaskan Republik Ireland 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di New York, Amerika Syarikat kelmarin.


NEW YORK - Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque masih berteka-teki mengenai calon sesuai untuk posisi penjaga gol dan penyerang pasukan itu bagi menghadapi kempen Piala Konfederasi 2013 di Brazil.

Del Bosque mendedahkan perkara tersebut selepas Sepanyol melengkapkan aksi pemanas badan terakhir dengan menewaskan Republik Ireland 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa kelmarin.

Gol kemenangan Sepanyol pada aksi di Stadium Yankee, New York itu dijaringkan penyerang Valencia, Roberto Soldado serta pemain tengah Chelsea, Juan Mata, masing-masingnya pada minit ke-69 dan 88.

Soldado meletakkan juara dunia dan Eropah itu di depan menerusi satu rembatan kencang selepas menerima hantaran daripada pemain pertahanan, Alvaro Arbeloa sebelum Mata menjaringkan gol kedua hasil gerakan satu dua bersama Santi Cazorla.

Sepanyol memulakan perlawanan itu dengan meletakkan pemain veteran, David Villa mengetuai jentera serangan, sebelum digantikan dengan Soldado.

"Saya berasa gembira kerana berjaya menjaringkan gol. Ia merupakan satu gol penting. Mereka (Ireland) bertahan dengan baik, sukar untuk kami menembusi benteng pertahanan mereka," kata Soldado.

Antara pemain gantian Sepanyol yang turut mencuri tumpuan pada perlawanan tersebut ialah penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas.

Casillas beraksi cemerlang untuk mengagalkan tiga percubaan menarik jentera serangan Ireland sebaik menggantikan tempat penjaga gol Barcelona, Victor Valdes.

Pengurus Sepanyol, del Bosque perlu memilih antara Casillas dan Valdes untuk menghadapi kempen Piala Konfederasi 2013 di Brazil Ahad ini.

Casillas bergelut untuk menggembalikan prestasinya, sekali gus meyakinkan del Bosque selepas lebih banyak 'direhatkan' oleh bekas pengurus Real, Jose Mourinho musim ini.

"Saya tidak mahu memberitahu siapa yang akan diturunkan. Soldado beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini dan berjaya membuktikan kehebatannya, Fernando Torres dan Villa turut cemerlang.
"Tidak ada pemain utama atau simpanan, kerana mereka adalah pemain penting di kelab masing-masing dan sukar untuk membuat pilihan kerana mereka sangat hebat.

"Casillas memberikan persembahan yang hebat tetapi hanya tiga penjaga gol akan disenaraikan," kata del Bosque.

Sepanyol diundi dalam Kumpulan B bersama Uruguay, Nigeria dan Tahiti pada kempen Piala Konfederasi 2013. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan