TIADA khabar berita sejak bergelar tunangan orang, Black Mentor
sebenarnya mempunyai alasan kenapa dia kurang mendapat publisiti sejak
kebelakangan ini.
Mendapatkan penjelasannya, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md.
Hanafiah berkata, dia tidak pernah lari daripada media. Cuma terdapat
beberapa urusan yang membuatkan dia agak sibuk.
Tambahnya, dia tidak mahu terlalu menonjol kerana dugaan bertunang
amat berat untuk dipikul lebih-lebih lagi bagi seorang selebriti seperti
dirinya.
Black yang ditemui semasa rakaman Rockestra Raya untuk saluran TV9
bersama Amy Search dan Azlan The Typewriter di Plaza Alam Sentral, Shah
Alam, baru-baru ini sempat bercerita.
Ujarnya, dia hampir putus tunang ekoran perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Black bagi mengetahui cerita dugaan
bergelar tunangan kepada gadis yang dikenali sebagai Cira Khairi itu.
Kosmo!: Black, sejak anda bertunang pada 26 Januari lalu, susah betul
mahu mendapatkan perkembangan terbaharu anda. Kenapakah anda seperti
mahu melarikan diri daripada wartawan?
BLACK: Sebenarnya saya bukan lari daripada sesiapa. Selepas
bertunang, saya ada banyak jemputan show yang perlu dihadiri sehingga
tidak menang tangan.
Lebih-lebih lagi pada masa itu saya sering mengikuti kempen-kempen
sempena Pilihan Raya Umum ke-13 tempoh hari. Malah, saya juga sibuk
menguruskan persiapan perkahwinan. Alhamdulillah, kini persiapan
perkahwinan sudah hampir 70 peratus siap.
Sudah mahu kahwin rupa-rupanya. Bilakah akan berlangsung hari bahagia Black tersebut?
Itu saya tak boleh beritahu lagi. Saya akan buat sidang akhbar pada 3 Julai ini bagi mengumumkan tarikh perkahwinan saya itu.
Di manakah lokasi dan masa pengumuman itu akan dibuat, saya akan
beritahu kelak. Apa yang pasti, pernikahan itu akan berlangsung pada
tahun ini juga.
Sejak bertunang, apakah cabaran paling besar yang perlu anda hadapi?
Saya akui dugaan bertunang amat berat. Tiga hari sebelum PRU-13
berlangsung, saya mengalami kemalangan di Behrang, Perak bersama abang.
Kereta BMW saya terbalik dan berpusing. Syukurlah tidak ada kecederaan
serius.
Selain itu, saya dan tunang terkena buatan orang. Kami sebenarnya
hampir putus tunang. Sebulan selepas bertunang, kami bergaduh hampir
setiap hari. Pantang bercakap atau berjumpa, asyik panas sahaja. Tetapi
syukurlah, setelah menjalani rawatan alternatif semuanya kembali pulih.
Adakah anda mengetahui siapakah dalang di sebalik perbuatan tidak bermoral itu?
Tidak. Kami tidak mengenali individu tersebut. Saya pun pelik mengapa
perkara ini terjadi. Mungkin ini dugaan yang perlu dihadapi sejak
berdarah manis. Saya pun tidak tahu kenapa perkara itu boleh terjadi
kerana kami tidak pernah bermusuh dengan sesiapa. Tetapi tak apalah
sebab semuanya sudah selesai.
Memandangkan tarikh pernikahan anda bakal tiba tidak lama lagi, apakah persediaan yang dibuat untuk bergelar seorang suami?
Saya sudah bersedia dan mula melengkapkan diri. Saya akan mengambil
kursus perkahwinan pada bulan depan. Bila saya lihat semula, perjalanan
saya untuk bergelar suami ini cantik dan sudah tersusun. Saya serahkan
segalanya kepada Yang Maha Esa.
Black, kenapa anda terlalu merahsiakan gadis yang bertakhta di hati
sehingga sekarang ramai yang masih menantikan kemunculan bakal isteri
anda itu?
Saya kalau boleh tak nak dia terlibat dalam industri ini kerana saya
tidak mahu mencampuradukkan hal peribadi dengan kerja. Kalau boleh nak
bersanding pun biar saya seorang di atas pelamin itu (ketawa).
Tengoklah, saya tidak tonjolkan dia pun masih ada orang yang dengki
dan tidak puas hati. Tunggulah pada majlis persandingan nanti.
Bercerita mengenai kerjaya pula, apakah perkembangan terbaru anda?
Insya-Allah saya akan muncul dengan dua buah single baharu yang
berjudul Puisi Sang Dewi dan Takkan Terpisah yang masing-masing
dijadikan runut bunyi untuk filem Lemak Kampung Santan dan drama untuk
siaran Astro. Semoga rezeki saya semakin melimpah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan