|
PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa
semalam mempersoalkan wang berjumlah RM30 juta setahun yang diterima
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi penjualan hak penyiaran
perlawanan Liga Malaysia (Liga M).
Annuar berkata, jumlah tersebut sepatutnya digunakan bagi membantu persatuan negeri yang menghadapi masalah kewangan.
"Apabila saya merundingkan tajaan bagi Liga Malaysia menerusi MSL
(Malaysian Super League), kita menjual segala hak milik negeri yang
merupakan pihak yang beraksi menjayakan liga, matlamat kita ialah untuk
menjana pendapatan lebih tinggi kepada negeri-negeri.
"Sekarang, kita harus tahu ke mana tajaan RM30 juta setahun itu
dibelanja dan dibelanjakan di 'dapur' mana? Ia satu kesalahan kalau
dianggap tajaan itu milik FAM, ia milik liga dan sebahagian besar hasil
tersebut adalah untuk memajukan liga.
"Kalau dibiar peserta liga mati, akhirnya Liga Malaysia juga akan
mati. Dapur persatuan negeri juga adalah dapur FAM," kata Annuar dalam
laman sosial Facebook beliau semalam.
Kelmarin, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata, bukan
tugas badan induk itu 'menjaga dapur orang lain' dan FAM sudah melakukan
apa yang sepatutnya termasuk pemberian geran tahunan kepada setiap
pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Premier.
"90 peratus punca pendapatan FAM datangnya daripada persatuan bola
sepak negeri dan tidak adil jika FAM tidak mengambil tahu masalah
mereka.
"Persatuan bola sepak negeri adalah 'dapur' FAM kerana daripada
merekalah, FAM kutip hasil dari denda, levi dan bayaran penajaan,"
katanya yang juga bekas Timbalan Presiden FAM.
Dalam pada itu, Annuar terus 'berperang' dengan Azzuddin yang dianggapnya bersikap seperti seorang 'jeneral tentera' dalam FAM.
Annuar berkata, masalah yang berlaku dalam FAM sekarang adalah kerana
Leftenan Jeneral bersara itu berasakan masih berkhidmat dalam tentera
walaupun sudah lama bersara.
"FAM bukan batalion tentera, sebaliknya ia lebih unik daripada itu.
Dalam FAM, ada exco yang dipilih dan dalam bola sepak juga ada pemegang
kepentingan termasuk penyokong, penaja, kementerian, ahli gabungan dan
lain-lain yang cukup berbeza dengan tentera," katanya.
Annuar berkata, jawatan Setiausaha Agung FAM bukan dipilih menerusi
pengundian daripada exco FAM, sebaliknya ia dilantik dan dibayar gaji.
"Justeru, tanggungjawab (Setiausaha Agung) bukan sekadar kepada
presiden tetapi kemajuan keseluruhan bola sepak itu sendiri kerana dalam
ketiadaan kongres dan exco, urusetialah yang berkuasa," katanya. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan