GOIANIA, Brazil - Pengurus Brazil, Luiz Felipe Scolari yakin pasukan
itu berada di landasan yang tepat untuk menjulang trofi Piala
Konfederasi 2013 buat kali ketiga berturut-turut.
Scolari menyuarakan keyakinan itu selepas skuad Samba berjaya
menewaskan Perancis 3-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Arena
Grenio kelmarin.
Meskipun tidak menampilkan aksi yang menarik, Brazil mempamerkan
peningkatan berbanding pada perlawanan terdahulu, sekali gus dianggap
sebagai persiapan terbaik untuk menghadapi kempen Piala Konfederasi
2013.
"Kami memerlukan kemenangan ini. Ia memberikan kami lebih keyakinan dan ia tepat pada masanya," kata Scolari.
Brazil bakal membuka tirai pada kempen Piala Konfederasi 2013 berdepan Jepun di Brasilia, Ahad ini.
Selain Jepun, turut diundi dalam kumpulan yang sama ialah Mexico dan Itali.
Untuk rekod, Brazil menjuarai pertandingan ini di Arab Saudi (1997)
sebelum muncul juara dua kali berturut-turut pada edisi 2005 (Jerman)
dan 2009 (Afrika Selatan).
"Kemenangan ini merupakan satu langkah terbaik buat kami untuk menghadapi Piala Konfederasi 2013.
"Ia menunjukkan bahawa kami mempunyai sebuah pasukan yang kompetitif untuk mencabar gelaran juara," katanya.
Bagaimanapun, Brazil dilihat gagal memberikan aksi sebenar sejak Scolari kembali menjadi jurulatih pada Disember tahun lalu.
Mereka hanya menewaskan Bolivia manakala sekadar seri dengan Itali, Rusia dan Chile.
Selain itu, skuad Samba juga tewas 1-2 kepada England di London
sebelum seri 2-2 dengan skuad yang sama di Stadium Maracana minggu lalu.
Pada masa sama, kemenangan ke atas Perancis kelmarin turut menamatkan
kemarau kemenangan Brazil ke atas pasukan itu sejak 21 tahun lalu. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan