LONDON - Pengurus Chelsea, Jose Mourinho sedia 'membuka pintu' buat
Wayne Rooney jika penyerang Manchester United itu mahu berpindah ke
Stamford Bridge musim depan.
Pengendali kelahiran Portugal itu menegaskan, beliau akan melakukan
apa sahaja untuk menggembirakan penyerang England itu selepas dilantik
secara rasminya menjadi pengurus baharu skuad The Blues kelmarin..
Chelsea kini sedang memburu khidmat seorang penyerang dan Rooney, 27,
yang dikatakan mahu meninggalkan United berjaya menarik perhatian
Mourinho.
"Terpulang kepadanya (Rooney) dan apa yang dia mahukan untuk terus gembira," kata Mourinho.
Selain Rooney, skuad The Blues turut dikaitkan dengan Edinson Cavani,
namun klausa pelepasan penyerang Napoli bernilai £53 juta (RM256 juta)
itu memaksa Mourinho mengalih perhatian kepada bekas bintang Everton
tersebut.
"Personaliti Rooney ada sedikit persamaan dengan saya. Dia tidak menuntut wang dalam kontraknya atau mahukan kejuaraan.
"Ini kerana, dia mahu mencari kegembiraan dalam dunia bola sepak.
"Persoalannya, di manakah dia akan gembira? Di manakah Rooney akan
berjaya mencari kebahagiaan untuk terus mengejar cita-cita dan
kejayaan?" katanya.
Mourinho turut mengesahkan bahawa beliau akan berunding dengan
penyerang Sepanyol, Fernando Torres untuk membincangkan mengenai masa
depannya di Chelsea.
Selepas ditandatangani dengan harga £50 juta (RM242 juta), Torres
masih bergelut untuk mempamerkan prestasi sebenar dan gagal memberikan
impak yang besar kepada skuad The Blues.
"Torres sebenarnya lebih gembira kekal di sini dan mahu bekerja
keras. Saya fikir, dia berhak mendapat penghormatan daripada saya.
"Penghormatan itu bermula sebaik sahaja kami bersemuka dan berbincang mengenai langkah yang lebih baik untuk kedua-dua pihak.
"Jika perkara terbaik adalah memasti- kan Torres kekal di sini, kami
akan membantu dan memberikannya peluang untuk mengembalikan reputasi
sebenarnya," kata Mourinho. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan