|
AKSI tangkas dan lincah jejaka berusia 38 tahun ini di atas padang
telah sampai ke titik penamat apabila dia mengumumkan persaraannya
daripada dunia bola sepak yang telah menjadi sandaran rezeki, juga
popularitinya sejak 20 tahun lalu.
Apakah langkah seterusnya yang bakal disusuri oleh David Beckham?
Umum mengetahui kelibat anak watan Leytonstone, London, England itu
sering kelihatan dalam lembaran-lembaran fesyen dan menghadiri
pertunjukan fesyen pereka ternama. Malah, dia juga menjenamakan dirinya
sebagai satu produk yang boleh melariskan perniagaan.
Mungkinkah kita bakal melihat Beckham menguasai dunia glamor fesyen
seperti dilakukan oleh sang isteri, Victoria Beckham yang sudah memateri
nama sebagai antara pereka busana terkenal dunia?
Andaian itu turut dipersetujui oleh mantan pengurus kelab bola sepak
Manchester United (MU), Alex Ferguson yang percaya bekas anak didiknya
itu bakal menceburi aliran fesyen sebagai satu kerjaya baharu kepada
Beckham.
“Keupayaan Beckham dalam meluaskan pengaruh dan mengukuhkan nama ke seluruh dunia merupakan sesuatu yang menakjubkan.
“Apabila dia berpindah ke Amerika untuk bermain bersama kelab LA
Galaxy pada tahun 2007, tiada siapa menyangka dia mampu membina karier
di sana.
“Situasi sama juga berlaku ketika dia bermain di negara-negara
Eropah. Semua orang menerima Beckham, malah dia terus mendapat perhatian
media antarabangsa,” kata Ferguson kepada media antarabangsa baru-baru
ini.
Tambah Ferguson, dari sudut kesukanan, Bec- kham merupakan seorang
atlet yang mempunyai tahap stamina tinggi. Dalam usia menghampiri 40-an,
dia sentiasa menjadi pilihan untuk terus berada di padang bermain dalam
perlawanan bola sepak.
Beckham menyertai MU ketika berusia 11 tahun dan telah bersama dengan
kelab gergasi dunia itu selama 11 tahun di bawah kendalian Ferguson.
Ketika bermain untuk MU, dia menjulang kejuaraan Liga Perdana England
dan Liga Juara-Juara sebanyak enam kali.
“Dia masih muda lagi. Saya membayangkan fesyen akan menjadi pilihan
Beckham selepas persaraannya,” kata Furgeson yang juga telah bersara
pada bulan Mei lepas.
Pesona diri yang tampan dan berketrampilan menarik menjadikan Beckham
sebagai duta pelbagai produk dan rumah fesyen. Dia telah menghiasi
beberapa kempen antarabangsa termasuklah Emporio Armani, Breitling,
Adidas, Police, Gillette, Samsung dan Pepsi.
Pakar penjenamaan meramalkan jumlah kekayaan Beckham bakal meningkat
berlipat kali ganda selepas persaraannya kerana mempunyai masa untuk
fokus kepada peluang komersial.
“Beckham adalah ikon gaya hidup. Dia tidak memakai baju sukan dalam
kempen iklan, malah hanya menyarungkan persalinan kasualnya sendiri,”
ujar Pengarah Komunikasi Korporat Vodafone, Michael Caldwell.
Rupa paras dan lagak persis seorang model melayakkan Beckham mendapat tajaan dan jemputan daripada pereka fesyen antarabangsa.
Kontrak H&M
Syarikat pakaian kasual dari Sweden, H&M bakal menyambung kontrak
bersama ikon metroseksual itu untuk musim luruh akan datang. Dia yang
pernah mengeluarkan dua koleksi pakaian dalam istimewa untuk lelaki akan
terus menyumbangkan idea terbaharu kepada jenama tersebut.
“Beckham adalah seorang ahli sukan dan mempunyai cita rasa fesyen
yang baik. Pihak kami tidak sabar untuk berkolaborasi sekali lagi untuk
koleksi musim luruh akan datang,” ujar jurucakap H&M kepada media
baru-baru in.
Wakil agensi pengurusan Beckham, Simon Fuller’s XIX Entertainment
tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai persaraan legenda bola
sepak itu. Bagaimanapun, mereka mengesahkan yang Beckham akan meneruskan
kontrak bersama beberapa jenama seperti Sky, Sainsbury’s, Adidas dan
juga H&M.
Penggunaan selebriti sebagai jurucakap atau duta sudah menjadi
tradisi dan ikutan seluruh dunia. Ia memberi pulangan lumayan kepada
mereka kerana setiap kontrak yang ditandatangani bernilai jutaan ringgit
untuk satu tempoh masa.
Namun begitu, ia juga memberi risiko, terutamanya kes-kes
penyalahgunaan nama selebriti dalam produk atau syarikat yang tidak
bertanggungjawab. Beckham juga tidak terkecuali apabila imej dan namanya
telah digunakan tanpa kebenaran untuk satu iklan penerbangan tambang
murah, EasyJet.
Isu terpencil itu tidak menggugat kekayaan Beckham, malah menurut
majalah kewangan, Forbes, dia merupakan atlet kelapan mendapat bayaran
tertinggi iaitu sebanyak RM142.39 juta pada tahun 2012 yang merangkumi
gaji dan bayaran sebagai jurucakap.
Kembara baharu
Mengulas mengenai persaraan suaminya, Victoria menggambarkan Beckham
sebagai seorang ahli sukan dan idola yang memberi inspirasi kepada
jutaan peminat seluruh dunia.
“Saya dan anak-anak sangat berbangga dengan Beckham. Ia merupakan
perjalanan hidup yang menakjubkan apabila menyaksikan sendiri dia
bermain sepanjang karier bola sepaknya. Kami bersama-sama berkongsi
kegembiraan ketika pasukan Beckham menjadi juara, dari MU sehingga ke
Paris Saint-Germain.
“Ia bukan keputusan yang mudah untuk dilakukan tetapi kami teruja
untuk meneruskan langkah bersama,” ujarnya dalam kenyataan kepada media.
Beckham pula berkata, tiada apa-apa yang dapat menggantikan
kecintaannya kepada dunia bola sepak. Seperti Victoria, dia mula
menyukai kembara baharu dalam hidupnya dan tidak sabar untuk menjelajah
kerjaya yang bakal diteroka kelak.
“Saya sangat bertuah kerana diberi peluang yang banyak sepanjang
karier bola sepak dan sekarang tiba masanya untuk menyumbang sesuatu
kepada mereka yang memerlukan,” kata Bec- kham yang turut aktif dalam
badan kebajikan.
Dia telah menyertai beberapa persatuan dan badan kebajikan yang
membuatkannya sibuk setiap masa. Salah sebuah organisasi yang diketuai
oleh Beckham ialah Malaria No More UK Leadership Council, Help for
Heroes dan Victoria and David Beckham Charitable Trust.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan