Ahad, 2 Jun 2013

Kekuatan mental punca kejayaan Johor DT


PARA pemain Johor DT meraikan kejayaan Francisco (dua dari kiri) menjaringkan gol penting pada aksi menentang Pahang, malam kelmarin.


JURULATIH Johor Darul Takzim (Johor DT), Fandi Ahmad menyifatkan kekuatan mental skuad kendaliannya merupakan salah satu faktor kejayaan mereka layak ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.

Meskipun Harimau Selatan itu tewas 1-2 kepada Pahang pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin, mereka tetap berjaya mara ke perlawanan akhir berdasarkan kelebihan jaringan di gelanggang lawan menerusi agregat 2-2.

Pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin minggu lalu, Johor DT memang 1-0 menerusi jaringan Leonel Nunez.

Menurut Fandi, kekuatan mental barisan pemainnya menjadi punca kebangkitan mereka selepas ketinggalan 0-2 pada aksi separuh masa pertama.

Pengendali kelahiran Singapura itu menyifatkan motivasinya kepada pemain berjaya membantu Harimau Selatan untuk mempamerkan aksi lebih menyakinkan khususnya pada babak kedua.
Jelasnya, beliau menarik nafas lega selepas berjaya mara buat kali pertama di pentas final Piala FA untuk pasukan berstatus kelab itu.

"Selepas ketinggalan 0-2 (pada separuh masa pertama), saya memberikan motivasi kepada pemain ketika dalam bilik persalinan dan mengingatkan mereka agar terus berusaha untuk melakarkan sejarah buat pasukan ini.

"Mereka akhirnya membuktikan keupayaan mereka, dan saya tahu mereka memiliki mentaliti yang cukup kuat.

"Kami selalu ketinggalan, tetapi selepas itu berjaya bangkit untuk memenangi perlawanan terutama dalam kempen Piala FA ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan kelmarin.
Pada aksi tersebut, skuad Tok Gajah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penyerang import, Martias Conti pada minit pertama dan ke-40.

Namun, kelebihan skuad kendalian Dollah Salleh gagal bertahan apabila perancang import Johor DT, Andrea Francisco menjaringkan gol penting pada minit ke-47 sekali gus membawa Harimau Selatan ke final.
Tambah Fandi, beliau sudah menjangkakan Pahang akan mengamalkan corak permainan menyerang sebaik perlawanan dimulakan.

Namun, katanya, Harimau Selatan mengambil kesempatan terhadap bekas juara Piala FA 2006 itu yang tampak keletihan pada separuh masa kedua.

"Saya menjangkakan Pahang akan menyerang habis-habisan sepanjang perlawanan tersebut.
"Tidak dapat dinafikan mereka mempamerkan permainan cukup baik untuk aksi pertama namun saya memberitahu kepada pemain saya supaya mengambil kesempatan di separuh masa kedua.

"Ini kerana mereka mula tampak kepenatan selepas menggunakan semua tenaga pada aksi pertama dan akhirnya, kami berjaya menjaringkan gol penting.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Pahang yang mempamerkan aksi yang lebih baik pada perlawanan tersebut tetapi pujian harus diberikan kepada pemain saya atas kejayaan ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai pertemuan final menentang juara bertahan, Kelantan pada 29 Jun depan, Fandi memberitahu: "Saya tidak mahu memikirkan aksi (final) itu lagi, kerana tumpuan kami sekarang adalah perlawanan Liga Super akan datang."

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan